KUALA LUMPUR: Syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan memfailkan semula saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta.
Berdasarkan saman difailkan 29 Mac lalu itu, syarikat berkenaan menuntut perintah mandatori bahawa barang kemas berkenaan dikembalikan atau dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik, dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.
“Sebagai alternatif dan sekiranya barang kemas itu atau mana-mana bahagiannya atas apa sebab mungkin tidak boleh diperoleh semula, ia boleh dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik.
“Jika ia tidak boleh dipulihkan sepenuhnya atau sebahagiannya, defendan (Rosmah) bertanggungjawab membayar kepada plaintif (syarikat itu).
“Kos barang kemas dinyatakan berjumlah RM67,461,027.37 bersamaan AS$14,567,270 pada kadar disediakan Maybank pada 1 Mac lalu bersamaan faedah lapan peratus setahun daripada tarikh pengisian hingga tarikh pemulihan,” katanya.
Saman itu difailkan firma guaman, Tetuan David Gurupatham & Koay di Mahkamah Tinggi di sini.
Mengikut penyataan tuntutan difailkan firma guaman itu pada hari sama, Global Royalty Trading SAL mendakwa Rosmah menandatangani nota konsainan (kiriman) mengakui penerimaan barang kemas itu mengikut terma dan syarat seperti dinyatakan pada 22 Mei 2018.
Plaintif memaklumkan membuat beberapa panggilan telefon kepada defendan dan memintanya untuk mengembalikan barang kemas.
“Selepas itu, defendan mengesahkan secara bertulis melalui surat diakui sendiri bahawa barang kemas yang dikonsain (dikirim) kepadanya tiada dalam milik, tetapi sebenarnya disita pihak berkuasa Malaysia dan kini dalam jagaan mereka.
“Namun, dengan harapan dapat menyelesaikan perkara ini secara baik dan mengekalkan persahabatan erat yang plaintif dan defendan kongsi, plaintif sekali lagi meminta untuk defendan memulangkan barang kemas.
“Meskipun beberapa kali plaintif meminta defendan memulangkan barang kemas terbabit kepada plaintif, defendan masih gagal, abai dan enggan memulangkannya,” katanya.
Pada 2019, syarikat barang kemas memfailkan saman kepada Rosmah untuk barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta dipulangkan, namun kemudian menarik balik saman.
Dalam saman asalnya, syarikat itu mendakwa pada 10 Februari 2018, menghantar barang kemas termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, kepada defendan yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya. – Berita Harian