KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti popular, Syafiq Kyle dan Mimi Lana dikhabarkan melangsungkan pernikahan, hari ini.
Menurut sumber kepada Harian Metro, pasangan itu mengadakan majlis pernikahan di kampung halaman Mimi di Taiping, Perak.
“Mereka bakal berkahwin petang ini. Majlis pernikahan akan diadakan di kampung Mimi di Taiping,” katanya.
Menurut sumber, majlis pernikahan itu dilaporkan berlangsung secara tertutup tanpa mahu diketahui pihak media atau orang luar.
“Saya dengar tetamu yang hadir tidak dibenarkan membawa telefon bimbit kerana enggan pernikahan mereka mendapat perhatian,” katanya.
Lebih menguatkan spekulasi itu, Mimi memuat naik foto di Instagram memaparkan tangannya yang sudah disarung cincin bersama tangan lelaki dipercayai Syafiq.
Selain disertakan dengan emoji hati dan cincin, Mimi turut memuat naik gambar dia berpelukan bersama Syafiq.
Selain itu, ibu Syafiq. iaitu Rohaya Sulaiman turut memberi bayangan terdapat sesuatu yang bakal berlaku menerusi perkongsian di Instagram Story.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan kami,” katanya.
Terdahulu, Syafiq dalam satu temubual di sebuah stesen radio mengakui sudah menakluk hati Mimi Lana dan kini hanya menanti masa yang sesuai untuk meneruskan hubungan mereka.
Sebelum ini, Syafiq dan Mimi sepatutnya melangsungkan pernikahan pada 18 Ogos 2023, namun, majlis itu dibatalkan.
Tidak memperincikan punca pembatalan perkahwinan itu, Syafiq dan Mimi bagaimanapun mengaku tetap berkawan baik dan boleh bekerjasama dalam satu drama atau filem.
Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi kedua-dua pelakon itu dan pengurus mereka, Iman Tang bagi mendapatkan pengesahan mengenai pernikahan itu, tidak berjaya.
Mereka tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.
-HM Online
-Beritaharian