Susulan ‘Langkah Perak’, masa depan Muafakat Nasional penuh persoalan

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Adakah nasib Muafakat Nasional di hujung tanduk? Persoalan ini timbul susulan kenyataan terbaru PPBM lewat malam semalam mengenai penyingkiran timbalan presiden parti itu sebagai menteri besar Perak oleh Umno.

-Advertisement-

Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin, berkata parti itu akan meningkatkan kerjasama dengan PAS melalui Perikatan Nasional (PN) demi “kestabilan politik peringkat nasional dan negeri”.

Beliau tidak merujuk langsung kepada kerjasama dengan UMNO, mahu pun Muafakat Nasional yang menggabungkan PPBM, PAS, dan Umno dalam kenyataan itu.

Agak ketara PPBM amat marah dengan tindakan 24 daripada 25 Adun Umno menolak usul percaya terhadap terhadap Ahmad Faizal Azumu di DUN Perak Jumaat lalu, sekali gus memaksanya meletak jawatan sebagai MB.

Ada yang bertanggapan kemarahan itu reda berikutan perkembangan di Johor dua hari kemudian.

Meskipun berpeluang mencantas MB daripada Umno, Hasni Mohamad, 13 ADUN PPBM dan PAS mendokong Belanjawan Johor 2021, sekali gus membolehkan ia diluluskan sebulat suara dan kedudukan Hasni tidak terjejas.

Antara mereka, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaku ADUN Gambir.

Malam semalam, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM.

Nada kenyataan yang dikeluarkan selepas perjumpaan itu menunjukkan PPBM masih terkilan dengan apa yang berlaku di Perak.

“MPT sekali lagi menzahirkan rasa kesal terhadap usul keyakinan majoriti ADUN terhadap (Faizal) yang diusulkan oleh Umno tetapi tidak disokong oleh Umno dan Pakatan Harapan,” menurut kenyataan PPBM.

-Advertisement-

Kenyataan rasmi PAS pula berhubung kemelut di Perak adalah parti itu tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu di Perak.

Umum menjangkakan kerajaan baharu Perak akan ditunjangi UMNO yang mempunyai jumlah ADUN paling ramai di DUN Perak.

‘Penolakan’ UMNO oleh PPBM itu berlaku pada malam sama UMNO menyatakan komitmen mempertahankan kerajaan PN di Perak, sekali gus menolak spekulasi ia akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, dijadualkan ke Ipoh hari ini untuk menghadap Sultan Perak bagi menyampaikan pencalonan parti untuk jawatan menteri besar Perak baharu.

Sudah tentu fokus adalah sama ada semua lapan ADUN PPBM dan PAS akan menyokong calon UMNO jika diperkenan Istana sebagai menteri besar baharu.

Zahid diuar-uarkan akan mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Saarani Mohamad.

Muafakat Nasional atau MN ditubuhkan untuk meningkatkan kerjasama UMNO, PAS, dan PPBM supaya tiga parti Melayu itu tidak bersaing sesama mereka dan memastikan pertandingan dua penjuru menentang Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.

Namun, hubungan PPBM dan UMNO dilihat begitu rapuh ketika ini, manakala PAS tersepit antara dua ‘sahabatnya’ tetapi dilihat lebih cenderung kepada PPBM.

Menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa, Dewan Tertinggi BN dan Jawatankuasa Perunding MN masing-masing dijadualkan bermesyuarat hari ini dan esok.

Berdasarkan kenyataan tegas PPBM yang tersurat dan tersirat terhadap Umno malam tadi, serta pendirian PAS tidak mahu menyertai kerajaan baharu Perak, masa depan MN yang dianggotai tiga parti itu penuh persoalan yang mendebarkan ahli dan penyokong mereka. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427