Susu getah tumpah dari treler terbabas cemar parit, sawah

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR SETAR: Susu getah tumpah dari treler dalam perjalanan dari Hat Yai, Thailand ke Pulau Pinang yang terbabas di Kilometer (Km) 41.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Hutan Kampung pada Sabtu lalu, dikesan mengalir ke dalam sawah.

-Advertisement-

Pada peringkat awal, anggaran jajaran longkang atau parit yang terkesan akibat insiden membabitkan 40,000 liter susu getah itu adalah 300 meter.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pihaknya kini melakukan pemantauan kerja pembersihan yang dilakukan.

“JAS menerima aduan jam 6.59 petang hari kejadian. Pegawai JAS Kedah kemudian bergerak ke lokasi untuk melakukan siasatan dan mendapati lori treler membawa dua kontena mengandungi 40,000 liter muatan susu getah atau lateks terbabas di lokasi.

“Pemandu lori treler itu dipercayai membawa susu getah dari Hat Yai di Songkhla, Thailand untuk ke Pelabuhan Pulau Pinang. Hasil pemeriksaan, dianggarkan 40,000 liter susu getah tumpah sepenuhnya daripada kontena dan memasuki longkang atau parit berhampiran.

“Anggaran jajaran longkang atau parit yang terbabit pada peringkat awal adalah 300 meter. Bagaimanapun sehingga semalam, didapati susu getah itu bergerak mengalir hingga lebih 500 meter di kiri dan kanan serta sebahagian memasuki sawah,” katanya.

Katanya, tindakan awal diambil pihak PLUS pada hari kejadian adalah membantu kerja-kerja meminimumkan pengaliran sisa tumpahan susu getah dan mengelakkan ia sampai ke sungai berdekatan.

-Advertisement-

“Bagi membendung atau meminimumkan aliran terbabit, PROPEL PLUS kemudian membuat sekatan dengan menggunakan beg-beg guni pasir dan tanah di jajaran longkang,” katanya.

Katanya, JAS Kedah juga pada hari sama mengarahkan syarikat pengangkutan terbabit supaya melantik kontraktor bagi kerja-kerja penyedutan sisa tumpahan susu getah dan kerja pembersihan yang dijangka mengambil masa dua atau tiga hari lagi untuk selesai.

“Syarikat kontraktor dari Pulau Pinang sudah pun memulakan tugas pengepaman keluar sisa susu getah yang bercampur air mulai pagi semalam selepas pengalihan lori selesai kelmarin. JAS turut mengambil sampel sisa tumpahan susu getah di longkang.

“Pemantauan berterusan dilakukan JAS Kedah bagi memastikan pembersihan dibuat sehingga sempurna dan buangan dihantar ke premis kitar semula getah berlesen dengan JAS di Pulau Pinang. Setakat semalam, tiga lori digunakan untuk angkut sisa getah dengan jumlah keseluruhan 36 tan,” katanya.

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373