SHAH ALAM, 8 Mac — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Pemakaian Kenaikan Pangkat Leftenan kepada Kapten untuk Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Istana Alam Shah, Klang hari ini.
Menurut Istana Alam Shah dalam hantaran di Facebook Selangor Royal Office, majlis pemakaian pangkat berkuat kuasa 19 Nov tahun lepas itu sepatutnya berlangsung lebih awal namun ditangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tengku Amir Shah telah menduduki dua sesi peperiksaan kenaikan pangkat pada Julai 2020 (bertulis) di Kem Terendak, Melaka dan pada bulan September 2020 (amali) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.
Tengku Amir Shah sebelum ini memakai pangkat Leftenan sejak 15 Apr 2017 dan kini memegang jawatan Ketua Platun Rintis Serang (Rinser) 17 17 RAMD (Para).
“Setelah memakai pangkat Kapten, Baginda kekal di Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja RAMD (Para),” menurut kenyataan itu. -BERNAMA