Suami isteri parah kenderaan tembung kereta lawan arus

Estimate Reading Time: < 1 minute

BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri parah apabila kenderaan dinaiki mereka bersama seorang anak berusia tiga tahun, bertembung sebuah kereta dipandu melawan arus di Kilometer (KM) 13.0 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) arah Bagan Ajam, di sini, malam tadi.

-Advertisement-

Dalam nahas kira-kira jam 8.20 malam itu, lelaki berusia 43 tahun yang memandu Honda City secara melawan arus, turut mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan kereta Toyota Corolla Altis dinaiki tiga beranak itu, Honda City dan sebuah motosikal.

Beliau berkata, insiden dipercayai berlaku apabila Honda City terbabit dipandu secara melawan arus dari arah Bagan Ajam menghala ke Sungai Dua.

“Pada masa sama, sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 24 tahun yang membawa pembonceng berumur 28 tahun, bergesel dengan kereta lawan arus terbabit.

“Kereta itu kemudian melanggar kenderaan dipandu lelaki berusia 35 tahun yang membawa isteri berumur 31 tahun dan seorang anak mereka.

-Advertisement-

“Akibatnya, pasangan suami isteri itu parah, manakala pemandu Honda City tidak sedarkan diri.

“Kesemua mereka dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, anak pasangan itu dan penunggang bersama pembonceng terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Noorzainy berkata, punca Honda City dipandu melawan arus belum dikenal pasti, setakat ini, berikutan pemandunya masih tidak sedarkan diri.

Justeru, katanya, orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta memberikan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Syafinaz Abd Aziz, melalui talian 018-2881424 atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427