KUALA LUMPUR: Starbucks Malaysia mengumumkan sumbangan sebanyak RM250,000 kepada Tabung Bantuan Palestin MERCY Malaysia bagi menyokong projek pembangunan lestari, termasuk kesihatan, sanitasi air dan kebersihan (WASH), serta program mata pencarian bagi masyarakat Palestin yang memerlukan.
Francais kopi terkenal itu juga menyumbang RM250,000 kepada artis yang mengambil bahagian dalam kempen ‘Starbucks Art For Good: The Bearista Art Project’ sebagai pengiktirafan terhadap bakat dan sumbangan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food Bhd dan Pengarah Urusan Starbucks Malaysia, Datuk Sydney Quays, berkata pihaknya amat terinspirasi dengan artis hebat yang telah mencurahkan jiwa dan raga mereka ke dalam projek ini, dan syarikat berbesar hati untuk menyokong mereka dalam perjalanan kreatif mereka.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami dalam memupuk keterangkuman dalam bidang seni sambil memberikan impak yang nyata di Malaysia dan Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Diadakan di Pavilion Bukit Jalil dari 22 hingga 24 Februari 2025, acara ini memberi penghormatan kepada lebih daripada 60 artis Malaysia (individu dan kumpulan), termasuk artis pekak, autistik, serta pelajar seni yang sedang meningkat naik.
Mereka telah menyumbangkan bakat dalam mereka bentuk 25 figura unik ‘Life-Sized Bearista’, mengubah ikon beruang Starbucks yang digemari ramai menjadi karya seni yang penuh makna.
Kebanyakan artis ini telah mengatasi cabaran peribadi, menggunakan seni sebagai medium ekspresi diri dan penceritaan, membuktikan bahawa kreativiti tidak mengenal batasan.
Apabila projek ini mendapat momentum, ia berkembang menjadi koleksi cenderamata ‘Mini-Bearista’ yang diinspirasikan daripada figura bersaiz sebenar dan dijual di semua cawangan Starbucks di seluruh negara.
Ini membolehkan lebih ramai orang terlibat dalam kempen ini sambil menyokong seni tempatan.
Bekerjasama dengan NGO antarabangsa tempatan, MERCY Malaysia, pelanggan juga dijemput untuk menyumbang kepada tujuan yang lebih besar melalui pembelian mereka.
Acara itu juga mendapat pengiktirafan berprestij dalam Malaysia Book of Records apabila dianugerahkan gelaran ‘Most ‘Bearista’ Art in a Community Project”, menandakan pencapaian penting dalam komitmen Starbucks Malaysia terhadap penglibatan komuniti.
-BeritaHarian