KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan hoki kebangsaan, Sarjit Singh menyifatkan persaraan Faizal Saari sebagai satu kehilangan besar namun pada masa sama skuad Speedy Tigers perlu menyesuaikan keadaan tanpa khidmat penyerang sensasi itu.
Sarjit berkata, keputusan pemain berusia 34 tahun itu untuk mengundurkan diri selepas mencatat 302 caps sepanjang 15 tahun bersama skuad kebangsaan bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sudah dimaklumkan mengenainya sejak tahun lalu.
“Faizal pemain yang bagus, tetapi kami perlu melangkah ke hadapan dan fokus pasukan sekarang adalah Sukan Asia 2026.
“Persiapan kami baru bermula pada Mac tahun lalu, jadi masih memerlukan masa. Harapnya tahun ini, pasukan semakin mantap dengan pemain muda,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan senarai 30 pemain yang akan berlatih bersama Speedy Tigers bagi musim 2025 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.