PASIR MAS: Tindakan seorang lelaki menyorok wang tunai dan dadah jenis heroin serta syabu bernilai RM10,723 di dalam mesin basuh lama di rumahnya terbongkar apabila ditemui anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi, berkata ketika kejadian, anggota bertugas membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol Petai, Bukit Tuku, di sini, 11 malam, kelmarin.
Katanya, ketika serbuan, anggota menahan dua lelaki berusia 30 tahun, yang juga pemilik kediaman berkenaan manakala seorang lagi yang berumur 27 tahun dan berada di hadapan rumah terbabit.
“Anggota membuat pemeriksaan badan ke atas badan kedua-dua suspek, namun tidak menemui barangan salah sebelum meneruskan pemeriksaan di dalam dan luar rumah.
“Turut ditahan, tiga wanita berusia 16, 21 dan 50 tahun yang berada di bahagian ruang tamu,
“Sebaik pemeriksaan di luar rumah dilakukan, anggota menemui sebuah mesin basuh lama yang mana di dalamnya ditemukan wang tunai RM1,460, heroin sebanyak 12.82 gram bernilai RM641 serta syabu seberat 86.22 gram bernilai RM8,622,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Azhari berkata, kesemua barangan dirampas dan kelima-lima suspek lelaki serta wanita dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.-BH