KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini sudah memadai dalam mengawal penularan COVID-19 dan tidak wajar dilonggarkan lagi.
Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman, berkata biarpun trend kes meningkat ketika ini, perkara paling penting adalah tahap pematuhan mereka yang terbabit sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
“SOP sedia ada adalah prosedur bersesuaian dengan keadaan semasa, tidak perlu dilonggarkan lagi.
“Kita masih berdepan dengan ancaman Omicron, dan kita berharap perlaksanaan dos penggalak dan kanak-kanak serta kepatuhan SOP dapat membantu mengekang penularan terutama situasi di Johor,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada wujud keperluan untuk memperketatkan SOP PRN Johor, berikutan kadar penggunaan katil ICU di Johor sudah mencapai 70 peratus.
“Semua SOP perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati serta mendapat kerjasama semua pihak. Pemimpin masyarakat perlu menunjukkan contoh baik untuk diteladani, di samping nasihat untuk segera mengambil dos penggalak serta melakukan ujian saringan sebelum dan selepas aktiviti di lapangan berisiko.
“Kanak-kanak yang masih belum atau tidak boleh divaksin serta warga emas dan mereka yang berisiko perlu mengelak daripada hadir atau dilibatkan dalam sebarang aktiviti berkaitan kempen pilihanraya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, yang juga seorang doktor perubatan, menyuarakan kebimbangan terhadap pematuhan SOP dalam kalangan petugas dan pemimpin parti politik, menjelang tempoh berkempen yang bermula Sabtu ini.
“Saya terima berita lebih ramai positif selepas pulang dari Johor. Saya betul-betul bimbang dan ini petanda yang menunjukkan, pilihan raya kelihatannya boleh menularkan lagi kes terutama apabila ramai pemimpin gagal patuh SOP.
“Jumlah kemasukan ke hospital juga akan meningkat. Mungkin kita boleh pertimbang untuk tangguhkan (pilihan raya),” ciapnya di Twitter beliau.
Data dikongsi Kementerian Kesihatan (KKM) setakat hari ini menunjukkan, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Johor sudah mencecah paras 70 peratus, manakala jumlah penggunaan katil ICU, untuk kes COVID-19 dan bukan COVID-19 adalah 75 peratus.
-BH