KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan proaktif bagi menangani masalah capaian internet membabitkan lapan kawasan luar bandar.
Kawasan luar bandar itu adalah Kampung Banggol Pak Esah di Pasir Puteh, Kelantan; Kampung Siram, Kedai Tanjong, Pasir Mas, Kelantan; Kampung Aring 5 Gua Musang, Kelantan; Kampung Kaum Asli Kemidak, Bekok, Segamat, Johor; Pulau Aman; Kampung Labi di Beaufort, Sabah; Kampung Panikuan di Kudat dan Kampung Waluhu di Ranau, Sabah.
Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan hari ini, berkata, susulan liputan meluas media berhubung isu berkenaan, pihaknya turun padang khususnya bagi membantu pelajar yang sedang menjalani kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Bagi masalah capaian Internet yang dihadapi penduduk setempat dan pelajar sekolah khususnya di Kampung Banggol Pak Esah, SKMM sudah menghubungi Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk melaksanakan kerja penyambungan talian tetap Unifi ke rumah pengadu.
“Bagi penyelesaian jangka panjang di kawasan berkenaan, sebuah menara telekomunikasi di Kampung Batu Selinsing, akan dinaik taraf kepada teknologi 4G di bawah Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA),” katanya.
SKMM turut menjelaskan, kesukaran dihadapi siswi kembar yang berdepan capaian internet tidak stabil di Kampung Siram, Kedai Tanjong, Pasir Mas, Kelantan juga berjaya diselesaikan selepas TM memasang talian Unifi di rumah pengadu.
Dalam perkembangan berkaitan, SKMM turut melakukan tinjauan membabitkan penduduk Orang Asli di Kampung Aring 5, Gua Musang, Kelantan yang menghadapi masalah ketiadaan capaian internet dan peranti.
“Masalah dihadapi anak-anak di perkampungan Orang Asli berkenaan sedang ditangani.
“Setakat ini, tinjauan sudah dilakukan di lokasi berkenaan dan tindakan menguji kekuatan isyarat setiap syarikat telekomunikasi sedang dijalankan.
“Bagi pelan jangka panjang, akan dibina sebuah menara baharu di bawah projek JENDELA di kawasan ini,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut mengambil tindakan susulan pelajar sekolah dan mahasiswa di Kampung Kaum Asli Kemidak, Bekok, Segamat yang terpaksa mengikuti pembelajaran dalam talian di kebun sawit.
“Masalah capaian Internet lemah bakal diatasi apabila sebuah menara telekomunikasi baharu akan dibina di kawasan terbabit.
“Ia akan dilaksanakan di bawah pelan JENDELA fasa satu yang kini dalam proses tender, sementara untuk jangka masa pendek pendekatan penggunaan teknologi lain sedang diperincikan,” katanya.
SKMM turut memaklumkan sebuah menara baharu di Kampung Singgaron Baru, Ranau, Sabah di bawah inisiatif JENDELA akan dibina susulan kisah sekumpulan pelajar yang terpaksa meredah hutan dan berdepan risiko binatang buas semata-mata untuk mendapatkan capaian Internet.
“Menara berkenaan akan dibina di lokasi yang bersesuaian bagi memberikan liputan lebih baik kepada penduduk Kampung Singgaron Baru dan Kampung Waluhu serta boleh juga memanfaatkan kemudahan yang disediakan di Pusat Internet Komuniti Kampung Bongkud,” katanya.
-BH