Skim tajaan kerajaan bantu bekas pekerja sertai pekerjaan baharu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Satu program sumber manusia yang dibiayai kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan potensi yang besar dalam membantu pekerja yang diberhentikan untuk menyertai semula sektor tenaga kerja.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GKK Consultants Sdn Bhd Gajendra Balasingham, program yang dibuat secara dalam talian itu dibentuk bagi meningkatkan kebolehpasaran pekerja dalam sektor seperti perusahaan kecil dan sederhana melalui kemahiran teknologi dan komponen Revolusi Perindustrian Keempat (IR4) yang amat diperlukan dalam era digital baharu.

Walaupun baru dilancarkan sejak beberapa minggu lepas, program ini telah meningkatkan kemahiran kebolehpasaran individu yang telah dibuang kerja semasa pandemik COVID-19.

Modul latihan GKK yang diajar kepada bekas pekerja ini merangkumi kemahiran yang meliputi pengetahuan mengenai komponen IR4, peningkatan cara berfikir,  keupayaan menyelesaikan masalah serta kemahiran teknologi yang dipertingkatkan.

“Dengan pembiayaan kerajaan melalui PERKESO atau program latihan yang ditaja di bawah Skim Insurans Pekerja (EIS), kewujudannya sudah mula mendapat perhatian dan amat dicari,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

“Program ini amat sesuai untuk mereka yang pernah bekerja di pusat panggilan dan sektor perkhidmatan, ia membantu individu yang diberhentikan kerja menyertai semula tenaga kerja.

“Mereka ini boleh dilatih untuk kegunaan lain dalam sektor yang sama atau berbeza. Mereka mungkin diberhentikan kerja tetapi ini tidak bermakna golongan ini merupakan satu beban, kita perlukan transformasi, secara mental dan emosi,” katanya lagi.

Program GKK ini, yang dijalankan oleh sebuah firma perundingan Malaysia dalam latihan sumber manusia yang mempunyai cawangan di tujuh negara ASEAN, bersedia untuk digerakkan sepenuhnya.

-Advertisement-

-Advertisement-

Para pesertanya terdiri daripada bekas pekerja yang telah memohon EIS, dengan usia antara 30 hingga 45 tahun.

Mereka perlu memilih kursus yang mereka inginkan, tetapi perunding GKK akan membimbing mereka memilih kursus yang sesuai berdasarkan kepada kecekapan industri individu berkenaan dan rancangan masa depan untuk kerjaya mereka.

Gajendra berkata: “Dianggarkan bahawa RM63 bilion telah hilang dalam tempoh tiga bulan sekatan dengan purata harian sebanyak RM2.4 bilion rugi setiap hari.

“Banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas teruk, khususnya dalam industri hospitaliti dan pelancongan, dengan kesan domino ke atas banyak industri lain.

“Apabila keadaan mula pulih, walaupun agak perlahan, pekerja perlu bekerjasama dengan majikan.

“Selepas ini, majikan mahu mengupah mereka yang dilengkapi dengan pengetahuan teknologi serta  boleh menyumbang kepada transformasi digital. Dengan kemahiran komunikasi dan perisian, mereka berpeluang untuk bekerja semula.

“Mereka perlu menerima kenyataan bahawa upah dalam pekerjaan baharu mungkin sangat kurang. Jika mereka boleh bertahan untuk beberapa tahun akan datang, dengan satu set operasi yang diperbaharui,  ditambah dengan pelaksanaan digital yang lebih kukuh, mereka mampu untuk berdiri lebih mantap dan boleh menangani pelbagai cabaran perniagaan,” katanya.

– BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427