Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) lulus RM14.9 bilion pinjaman untuk Bumiputera

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sejumlah 65,818 permohonan pinjaman membabitkan nilai RM14.975 bilion diluluskan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang bertujuan membantu pembeli Bumiputera mendapatkan akses kepada pembiayaan perumahan.

-Advertisement-

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata jumlah itu direkodkan sejak 2008 hingga 31 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, katanya daripada jumlah itu, khusus bagi pelaksanaan SJKP Madani mulai tahun ini sebanyak 14,373 permohonan dengan pinjaman bernilai RM3.14 bilion sudah diluluskan.
“Melalui inisiatif ini, kerajaan memberi jaminan had pembiayaan sehingga RM500,000 termasuk jumlah pembiayaan pokok, jaminan tempoh pengurangan gadai janji atau takaful gadai janji, yuran guaman dan yuran penilaian.

“Pembiayaan adalah untuk pembeli rumah pertama termasuk belia yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti golongan ekonomi gig.

“Pembiayaan ini tidak terhad untuk kediaman baharu sahaja, tetapi termasuk juga rumah sedia ada atau rumah lelongan,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) mengenai mekanisme baharu diambil kementerian bagi menggalakkan pembelian lot perumahan Bumiputera berikutan 47 peratus lot tidak terjual antara RM500,000 hingga RM700,000 selain 29 peratus berharga RM300,000 hingga RM500,000 walaupun setelah tiga tahun siap pembinaan.

Pada masa sama, Kor Ming berkata di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), kerajaan bercadang melaksanakan kajian keperluan perumahan termasuk bagi golongan Bumiputera.

Beliau berkata, ini bertepatan matlamat PuTERA35 yang juga agenda menyeluruh negara ini untuk membangunkan ekonomi Bumiputera yang berteraskan nilai, akhlak dan integriti.

Katanya, berdasarkan laporan pindah milik harta tanah kediaman mengikut negeri dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada 2022, sebanyak 121,997 transaksi pindah milik direkodkan membabitkan golongan Bumiputera dengan nilai transaksi sebanyak RM34.7 bilion.

“Ia menunjukkan peningkatan bilangan transaksi sebanyak 14.8 peratus serta peningkatan nilai sebanyak 12.5 peratus bagi golongan Bumiputera dalam transaksi pindah milik harta kediaman, berbanding 106,276 transaksi dengan nilai RM30.8 bilion pada 2021,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427