KUALA LUMPUR: Rampasan berbelas beg tangan dan perhiasan berjenama mewah di rumah pasangan suami isteri terkenal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), semalam dipercayai mempunyai kaitan dengan wang yang diberikan dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk tujuan pelaburan pengasas platform e-dagang.
Sumber bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada kesemua barangan mewah itu dibeli individu itu menggunakan wang pelaburan.
“Ya ia ada kaitan, selebihnya masih dalam siasatan terperinci,” kata sumber kepada BH, di sini hari ini.
BH difahamkan, sitaan sejumlah bank akaun itu juga disebabkan ia mempunyai dana yang dilaburkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam mengesahkan kediaman pasangan suami isteri pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar di Mont Kiara, Kuala Lumpur diperiksa.
Dalam pemeriksaan itu, SPRM menyita beberapa barangan termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Pada masa sama, SPRM bertindak membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik suami isteri pengasas platform e-dagang FashionValet bernilai kira-kira RM1.1 juta.
-BeritaHarian