PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mengeluarkan sebarang arahan meminta Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, mengambil cuti selepas dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sivakumar yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP, dipanggil memberi keterangan berhubung kelulusan pekerja asing bagi membantu siasatan SPRM susulan penahanan seorang pegawai tugas-tugas khas dan setiausaha sulitnya minggu lalu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata Sivakumar juga bukan suspek, sebaliknya hadir ke Ibu Pejabat SPRM kelmarin, untuk memberi keterangan.
“Yang pertamanya beliau (Sivakumar) bukan suspek kes ini. Beliau beri kerjasama sebagai menteri. Kita masih pantau perkembangan buat masa ini.
“Setakat ini tidak ada arahan daripada Perdana Menteri untuk Sivakumar mengambil cuti buat masa ini,” katanya yang juga Menteri Pengangkutan ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.
SPRM dilapor menyerbu pejabat KSM di Putrajaya pada Khamis lalu, sebelum menahan seorang pegawai kanan Sivakumar.
Sehari kemudian, SPRM menahan setiausaha sulit menteri itu berkait kes sama. Turut ditahan seorang ahli perniagaan dari Ipoh dalam siasatan dikatakan membabitkan rasuah bernilai RM97 juta.
Nafi rumah digeledah SPRM
Sementara itu, ketika ditemui media menghadiri Pra Pelancaran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 semalam, Sivakumar menafikan laporan kononnya kediaman beliau digeledah SPRM kelmarin.
Mengulas pertemuan dengan SPRM kelmarin, Sivakumar berkata, beliau menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada suruhanjaya itu.
“Biar mereka buat siasatan, (kes) masih dalam proses siasatan, apa-apa kita akan bagi kerjasama penuh, itu sahaja.
“Saya tidak ditahan, cuma bagi kenyataan. Saya kata akan bagi kerjasama, maknanya akan bagi kerjasama,” katanya.
Malah, beliau menegaskan kementeriannya akan memberi kerjasama penuh untuk membantu siasatan agensi itu. – Berita Harian