PUTRAJAYA: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menepis tanggapan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur akan memecah-belahkan umat Islam, dan beliau berhasrat untuk menyertai persidangan itu sekiranya ia diadakan sekali lagi.
Pada sidang media bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Imran akui terkilan tidak dapat menyertai persidangan yang diadakan pada Disember tahun lepas.
“Persidangan itu terbukti tidak memecahbelahkan ummah seperti yang difikirkan oleh sesetengah pihak,” katanya selepas pertemuan empat mata dengan Mahathir hari ini.
Imran tiba bersama delegasi pentadbirannya di Malaysia semalam untuk lawatan kerja selama 2 hari.
Pada Disember, Imran pada saat-saat akhir mengumumkan lawatan untuk menghadiri Sidang KL dibatalkan, dalam apa yang dipercayai akibat tekanan diplomasi ke atas negara Asia Selatan itu yang menerima sumbangan berbilion dolar daripada Saudi.
Ketua kerajaan 3 negara lain yang menghadiri Sidang KL itu – Recep Tayyip Erdogan dari Turki, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dari Qatar, dan Hassan Rouhani dari Iran – antara seteru ketat Saudi. -FMT