KANGAR- Seorang lelaki ditemukan mati lemas di Sungai Tebing Tinggi, Bintong dekat sini selepas keluar menjala ikan seorang diri, semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew berkata mangsa Don Kipli Had, 55, keluar seorang diri ke sini untuk menjala ikan kira-kira 3 petang semalam.
Katanya menyedari mangsa tidak pulang ke rumah sejak petang, anak saudaranya, Hilmi Harief, 26, bertindak mencari dikawasan sekeliling hanya menemukan motosikal di tebing sungai dan terus membuat laporan polis.
“Kira-kira 10.45 malam semalam, pasukan Bomba yang berada dikawasan kejadian telah membawa keluar mayat mangsa dan anak saudaranya mengesahkan mangsa tersebut adalah bapa saudaranya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Wari, pemeriksaan dikawasan sekeliling tidak mempunyai sebarang kesan yang boleh dikaitkan dengan jenayah. Pemeriksaan ke atas mayat juga tidak menemui sebarang tanda atau kesan perbuatan jenayah.
Beliau berkata mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- BERNAMA