KUANTAN: Bimbang dikatakan akaun bank digunakan untuk kes penggubahan wang haram, seorang doktor di Temerloh terpaksa menanggung kerugian RM40,000 diperdaya sindiket Macau Scam, semalam.
Mangsa dikatakan ada menerima panggilan kira-kira jam 12.35 tengah hari daripada seorang lelaki yang mendakwa dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya, dan memberitahu wanita itu mempunyai tunggakan cukai.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata, suspek mendakwa mangsa yang berusia 26 tahun mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM13,000.
“Kemudian panggilan berkenaan disambungkan kepada dua lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Nizam dan Inspektor David kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Suspek bertanya jika mangsa mengenali pengedar dadah bernama M Faizul Ariffin yang sudah ditangkap di sempadan Thailand dan wanita itu menafikan kenal lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas itu suspek memberitahu akaun bank mangsa didapati sudah digunakan dalam kes penggubahan wang haram dan talian disambungkan kepada pihak Bank Negara.
“Pengadu kemudian diminta berikan maklumat akaun dan kata laluan perbankan secara dalam talian miliknya kepada suspek.
Tidak lama kemudian, mangsa membuat semakan dan mendapati wang berjumlah RM40,000 di dalam akaunnya sudah lesap,” katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam, selepas ditipu oleh sindiket Macau Scam.
Katanya, pihak polis sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun bank berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan. – Berita Harian