Semua kakitangan MyAirlines diminta fail tuntutan dengan JTK

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Semua kakitangan di bawah syarikat MyAirlines, yang terjejas akibat penggantungan operasi penerbangan sejak 12 Oktober lalu, diminta memfailkan tuntutan baki gaji mereka di pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhampiran dalam kadar segera.

-Advertisement-

Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, prosedur itu adalah perlu bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“KSM prihatin dengan situasi yang dihadapi kakitangan di bawah syarikat penerbangan MyAirlines, justeru beberapa sesi pertemuan sudah diadakan antara 16 Oktober sehingga kelmarin, membabitkan sejumlah 123 pekerja yang sudah memfailkan tuntutan baki gaji mereka di JTK terhadap syarikat penerbangan berkenaan.

“Sehubungan itu, KSM menyeru kepada semua kakitangan lain yang terbabit untuk tampil memfailkan tuntutan baki gaji mereka di JTK berhampiran dengan kadar segera.

“KSM bersama JTK akan sentiasa memantau dan memastikan kebajikan pekerja syarikat penerbangan ini sentiasa terjaga dan terbela,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 12 Oktober lalu, syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya serta merta dan ia berlanjutan sehingga satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.

-Advertisement-

Semalam, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan pihaknya sudah menggantung Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) MYAirline berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan, suruhanjaya itu berkata menurut seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771], penggantungan itu akan menjaga kepentingan penumpang dan pekerja yang terjejas akibat penggantungan operasi MYAirline, serta mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan pasca pandemik COVID-19.

Mavcom berkata sebelum ini ia sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada MYAirline pada 13 Oktober serta mengarahkan syarikat penerbangan itu untuk mengemukakan penjelasan bertulis dalam masa 14 hari.

Bagaimanapun, selepas menerima penjelasan bertulis MYAirline pada 27 Oktober serta mengkaji penjelasan bertulis itu, suruhanjaya memutuskan untuk menggantung ASL MYAirline kerana penjelasan yang diberikan adalah tidak memuaskan.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373