Semakan kehakiman Undi 18 hujung Ogos

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menetapkan 23 Ogos depan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman, yang difailkan gerakan Undi 18, bagi mencabar tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik (AVR).

-Advertisement-

Peguam New Sin Yew yang mewakili 18 anak muda dikenali sebagai gerakan Undi 18, ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu.

Terdahulu, Sin Yew berkata, Penolong Kanan Pendaftar, Azdianur Abu Samah menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes secara dalam talian, di sini, hari ini.

“Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan kedua-dua pihak diarah memfailkan hujahan pada 9 Ogos ini.

“Mahkamah turut menetapkan 3 Ogos ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya.

Pada prosiding itu, Peguam Persekutuan, Noor Atiqah Zainal Abidin bertindak bagi pihak responden.

-Advertisement-

Pada 17 Jun lalu, mahkamah membenarkan permohonan gerakan Undi 18 untuk mengemukan semakan kehakiman dengan menamakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan serta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia selaku responden.

Pada 2 April lalu, anak muda berusia antara 18 dan 20 tahun terbabit memfailkan tindakan undang-undang memohon beberapa perintah mahkamah berkaitan penangguhan pelaksanaan Undi 18 oleh responden.

Dalam permohonan itu, kumpulan anak muda terbabit memohon perisytiharan bahawa tindakan kerajaan menangguhkan penguatkuasaan penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun tidak rasional, tidak sah, tidak seimbang serta satu bentuk penindasan pengundi.

Pemohon juga mahukan satu perisytiharan bahawa mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun mempunyai harapan yang berasas mereka akan berhak untuk mengundi pada atau sebelum Julai 2021.

Anak muda terbabit turut memohon perisytiharan keputusan responden menangguhkan penguatkuasaan Seksyen 3(a) sebagai satu bentuk penindasan kepada pengundi yang berusia 18 hingga 20 tahun pada Julai 2021.

Sementara itu, Undi 18 dalam kenyataan berkata, sekiranya semakan kehakiman itu diluluskan, dianggarkan bahawa 1.2 juta anak muda berusia antara 18 hingga 20 tahun akhirnya diberi peluang untuk menggunakan hak mereka untuk mengundi bagi kali pertama dalam sejarah negara.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427