Selera terhadap haiwan liar di China jejas usaha kekang penularan COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

HONG KONG: Hampir 700 tangkapan dilakukan polis China membabitkan rakyat negara itu sejak dua minggu lalu membabitkan kesalahan menangkap, menjual atau memakan haiwan liar.

-Advertisement-

Serbuan dilakukan di kawasan kediaman, restoran dan dagangan dalam talian kerana melanggar larangan sementara yang dikeluarkan oleh kerajaan berikutan penularan jangkitan coronavirus (COVID-19).

Ia membabitkan 40,000 haiwan liar termasuk tupai, cerpelai dan khinzir.

Saintis mengesyaki COVID-19 disebarkan kepada manusia daripada kelawar melalui haiwan tenggiling, yang banyak digunakan bagi rawatan tradisional di China.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan dagangan hidupan liar secara haram di seluruh dunia bernilai AS$23 billon ( RM95 bilion) setahun dengan pasaran terbesar dipegang oleh China.

-Advertisement-

Produk berasaskan hidupan liar ini mendapat sambutan menggalakkan di China kerana ia menjadi sebuah industri penting dalam penghasilan ubatan tradisional bagi rawatan penyakit tertentu.

Menurut laporan agensi penyiasatan alam sekitar (EIA) yang berpusat di London, ia mendedahkan penularan COVID-19 meningkatkan penyeludupan hidupan liar secara haram.

Pedagang di China dan Laos mengambil kesempatan menjual hidupan liar termasuk tanduk badak yang dikatakan mujarab bagi merawat demam.

Sementara itu, bagi mengekang penyeludupan hidupan liar, badan perundangan China dijangka akan memperketatkan undang-undang berkaitan dengannya tahun ini, menurut agensi berita Xinhua. – REUTERS


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427