KUALA LUMPUR: Bukan saja menghina dua anggota polis pangkat rendah, seorang wanita yang tular di media sosial kerana memperlekehkan dua anggota pasukan keselamatan terbabit, turut didakwa mengugut mahu memukul orang awam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata polis menerima laporan daripada seorang individu mendakwa didatangi wanita terbbait semasa di kedai makan di Taman Sri Gombak, Batu Caves, jam 12 tengah hari semalam.
“Wanita itu yang memperkenalkan diri sebagai penjawat awam bertindak memarahi pengadu atas sebab membuat bising di rumah jiran. Dia turut menggunakan nada suara tinggi dan mengatakan ingin menahan pengadu kerana membuat bising.
“Dia kemudian mengugut mahu memukul pengadu dan turut memarahi semua orang yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hussein berkata, wanita itu juga mempersenda pegawai rendah polis dan tidak memberikan kerjasama untuk menunjukkan kad kuasa apabila diminta.
Bertindak atas laporan pengadu itu, beliau berkata, polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Katanya, pemeriksaan lanjut juga mengesan dua rakaman video yang tular di media sosial memaparkan kejadian itu.
“Suspek sudah dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau menasihati masyarakat supaya tidak terus menularkan video berkenaan dan memberikan komen yang boleh menggugat ketenteraman awam serta mengganggu proses siasatan.
Terdahulu, tular dua klip video berdurasi 24 dan 10 saat yang dimuat naik di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Dalam video tular itu kelihatan seorang wanita tempatan mencemuh seorang anggota polis berpangkat lans koperal sambil seorang lagi anggota cuba menenangkan keadaan.
– BH