SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan senarai 11 portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, di sini.
Selain berperanan sebagai Menteri Besar, Amirudin turut memegang lima portfolio iaitu Pembangunan Tanah dan Sumber Alam serta Kewangan dan Tindakan Ekonomi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu turut memegang portfolio Pemodenan Pentadbiran dan Digitalisasi Kerajaan, Komunikasi Strategik serta Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.
Komposisi kerajaan perpaduan PH-BN itu merangkumi DAP (empat); PKR (tiga); AMANAH (dua), dan BN (satu).
Tiga ADUN yang dilantik semula ke jawatan EXCO ialah ADUN Kinrara, Ng Sze Han yang menggalas tanggungjawab berkaitan Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti; ADUN Pandan Indah Izham Hashim (Infrastruktur dan Pertanian) dan ADUN Tanjung Sepat Borhan Aman Shah (Perumahan dan Kebudayaan).
Tujuh muka baharu ialah bekas Speaker DUN yang juga ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim yang akan menjalankan tugas berkaitan Kerajaan Tempatan dan Pelancongan; ADUN Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail (Kemajuan Desa dan Perpaduan) dan ADUN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (Kesihatan Awam dan Alam Sekitar).
Selain itu, ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi dilantik sebagai EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan; ADUN Banting V Papparaidu (Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan); ADUN Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah (Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi), dan ADUN Taman Templer, Anfaal Saari (Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat).
Pada Isnin, Menteri Besar dan 10 Exco berkenaan mengangkat sumpah jawatan bagi penggal ke-15 di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.
Terdahulu, dalam ucapannya Amirudin menzahirkan rasa syukur dengan mandat yang diberikan rakyat sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, disebabkan keutuhan sistem di Selangor serta dengan sokongan rakyat, kita telah berjaya membentuk kerajaan negeri penggal ke-15.
“Dua hari lalu saya dengan barisan EXCO telah mengangkat sumpah sebagai tanda menjunjung amanah dan melunaskan tanggungjawab.
“Kita bukan angkat sumpah kepada parti ataupun faksi, tetapi kepada Allah dan negeri ini di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,” katanya.
Beliau berkata, tanggungjawab itu mendorong mereka untuk mencari idea, meneroka teknologi baharu serta memberikan kemahiran baharu kepada generasi muda dalam usaha memacu kemajuan negeri Selangor. – BERNAMA
Berikut senarai penuh exco Selangor dan portfolio masing-masing:
1. Amirudin Shari (menteri besar)
Pembangunan tanah & sumber alam
Kewangan & tindakan ekonomi
Pemodenan pentadbiran & digitalisasi kerajaan
Komunikasi strategik
Pendidikan & pembangunan modal insan
2. Ng Szhe Han (pelaburan, perdagangan & mobiliti)
Pelaburan & perdagangan
Pembangunan IKS & wilayah ekonomi baharu
Mobiliti Selangor
Pengerusi bersama Jawatankuasa Khas
Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (Limas)
3. Izham Hashim (infrastruktur & pertanian)
Kemajuan infrastruktur
Pemodenan pertanian & perladangan
4. Borhan Aman Shah (perumahan & kebudayaan)
Perumahan & pembangunan bandar lestari
Kebudayaan, adat istiadat Melayu & warisan
5. Ng Suee Lim (kerajaan tempatan & pelancongan)
Pembangunan kerajaan tempatan
Pelancongan
Pembangunan kampung baharu
Pengerusi bersama Limas
6. Rizam Ismail (kemajuan desa & perpaduan)
Kemajuan desa & luar bandar
Kemampanan kampung tradisi
Perpaduan nasional
7. Jamaliah Jamaluddin (kesihatan awam & alam sekitar)
Kesihatan awam
Alam sekitar, perubahan iklim & teknologi
hijau
8. Najwan Halimi (belia, sukan & keusahawanan)
Pembangunan belia & kemajuan sukan
Pemberdayaan usahawan & ekonomi kreatif
Pengurusan bencana
9. Papparaidu Veraman (sumber manusia & pembasmian kemiskinan)
Sumber manusia
Pembasmian kemiskinan
Hal ehwal Orang Asal & minoriti
Pengerusi bersama Limas
10. Mohammad Fahmi Ngah (Agama Islam & pembudayaan inovasi)
Hal ehwal agama Islam
Industri halal
Infrastruktur digital
Pembudayaan sains, teknologi & inovasi
11. Anfaal Shaari (pembangunan wanita & kebajikan masyarakat)
Pemberdayaan wanita & keluarga
Kebajikan masyarakat
Ekonomi penjagaan (care economy)
– BH