Selangor runding dengan pembekal telur ayam

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang dalam proses rundingan dengan pembekal telur ayam di negeri ini bagi menurunkan harga barangan itu, terutama pada Ramadan dan perayaan Aidilfitri yang akan datang.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim memaklumkan buat masa ini, Selangor tidak mengalami kekurangan bekalan telur ayam yang serius.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat kekangan yang mana apabila harga ayam naik, harga telur akan turut naik.

“Selain ayam, telur adalah bahan makanan penting dan kekurangan bekalan akan kita hadapi apabila mahu menurunkan harga kerana pembekal dijangka memilih untuk menjualnya ke tempat lain.

“Justeru, kita kini dalam perbincangan bersama pembekal yang mana kita akan membantu dari segi sewaan tapak (ladang ternakan) serta makanan ternakan, dan mereka boleh membekalkan telur ayam kepada kita pada harga berpatutan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Ikon Agro Selangor 2021 di Wisma PKPS, dekat sini, semalam.

Mengulas lanjut, Izham berkata, pihaknya mahu memastikan harga telur ayam turut dapat dikurangkan, sebagaimana inisiatif kerajaan negeri meletakkan RM8 sekilogram sebagai harga siling runcit ayam standard.

“Kita mahu harga betul-betul rendah bawah harga siling yang ditetapkan kini. Di Selangor setakat ini, bekalan tidak (berkurangan) sangat tetapi harga (agak tinggi).

-Advertisement-

“Insya-Allah pada minggu ini, rundingan mengenai harga telur ayam mengikut gred akan selesai sebelum dipasarkan dalam Program Intervensi Harga Makanan Ihsan bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS),” katanya.

Dalam pada itu, Izham memaklumkan menerusi program terbabit, pihaknya akan mula menambah bekalan ikan dan daging lembu untuk dipasarkan bawah harga siling di dua outlet PKPS, iaitu Pasar Borong Selangor dan Wisma PKPS.

Izham berkata, insentif itu juga akan diperluaskan ke seluruh Selangor bagi memanfaatkan lebih ramai rakyat.

Sebelum ini, Selangor menerusi PKPS menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM8 sekilogram di premis jualan seliaan PKPS, dalam usaha mengurangkan beban harga makanan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, sebagai permulaan sebanyak 50,000 ayam standard akan diperuntukkan bagi kempen harga jualan selama dua minggu bermula semalam.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427