Selangor agihkan bantuan kewangan sekolah hujung bulan ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan mengagihkan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di negeri ini selewat-lewatnya awal bulan hadapan.

-Advertisement-

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sebelum ini, pengagihan diadakan sebanyak dua sesi bagaimanapun, susulan penularan wabak COVID-19 ia terpaksa ditangguhkan dan hanya satu sesi penyampaian akan diadakan pada tahun ini.

“Kerajaan Negeri perlu menstruktur semula bantuan kepada sekolah susulan penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kini, jawatankuasa pendidikan negeri sedang meneliti senarai akhir sekolah yang diperolehi menerusi pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pihak sekolah manakala bantuan akan diberikan pada hujung bulan ini atau paling lewat pada awal Ogos,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Leong Tuck Chee (DAP) berhubung bantuan kewangan kepada sekolah dan tarikh penyerahan pada Sidang DUN Selangor hari ini.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, sehingga kini sejumlah 724 sekolah sudah diluluskan untuk menerima bantuan kewangan daripada kerajaan negeri.

Katanya, mengikut pecahan, sebanyak 529 penerima adalah SAR, 100 SJK Cina, 82 SJK Tamil dan 13 SMJK.

-Advertisement-

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM42 juta untuk Skim Insurans Peduli Sihat khusus untuk golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, ia adalah penambahbaikan daripada Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan kerajaan negeri pada 2017.

“Menerusi skim ini, rakyat Selangor akan menerima bantuan pengebumian (RM1,000); Perlindungan Kemalangan Diri (RM5,000); Perlindungan Penyakit Kritikal (RM5,000) dan Insuran Nyawa (RM5,000).

“Insuran kesihatan secara universal ini membabitkan 85,000 keluarga dan bertujuan untuk meringankan beban golongan B40 khususnya bagi menerima rawatan asas serta manfaat perlindungan kesihatan,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373