Sektor perniagaan kecil bakal terima manfaat RMK-12

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Isnin lalu bakal menyaksikan hampir semua kategori usahawan merangkumi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi, perusahaan sosial dan usahawan tidak formal akan menerima manfaat.

-Advertisement-

Ia termasuk kumpulan khusus seperti usahawan Bumiputera, wanita, B40, belia, asnaf, graduan, miskin bandar dan luar bandar serta orang asli/asal.

Justeru, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berkata, ia komited dalam agenda melahirkan Bangsa Usahawan, selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

“Ini selari, dengan usaha mempertingkat keseimbangan ekonomi di wilayah kurang membangun, penekanan kepada aspek keusahawanan akan dipertingkatkan sebagai antara potensi peluang penjanaan pendapatan yang lebih menyeluruh.

“Secara keseluruhannya, MEDAC akan memberi sokongan sepenuhnya dalam melaksanakan strategi dan inisiatif yang telah digariskan di bawah perancangan RMK-12 yang akan diselaraskan menerusi Kajian Pembangunan Pelan Strategik PMKS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

-Advertisement-

MEDAC berkata, RMK-12 selari dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030).

Kementerian itu berpandangan dalam tempoh yang mencabar ini, perincian RMK-12 yang memberi fokus kepada usaha menjana semula ekonomi negara kesan COVID-19 akan memberi impak segera kepada usaha mentransformasi PMKS sebagai pemacu baharu pertumbuhan.

“Di bawah bidang keutamaan utama bagi mempertingkatkan keupayaan usahawan dan perusahaan, sebanyak tiga strategi utama telah dikenal pasti.

“Ia merangkumi perincian mewujudkan usahawan yang inovatif dan mampan; menggalakkan penyertaan inklusif melalui PMKS, koperasi dan persatuan berasaskan pertanian; dan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif dan menyeluruh,” katanya.

Menurut kenyataan itu, perincian strategi terbabit akan disokong dengan penyediaan inisiatif keusahawanan berteraskan akses kepada peluang pembiayaan, adaptasi teknologi dan digitalisasi, pembangunan kapasiti dan akses pasaran. -BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427