Sekolah tenggelam banjir, calon SPM tumpang masjid

Estimate Reading Time: 2 minutes

TUMPAT: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Noor Balqis Omar, hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat, di sini, dengan menaiki trak tentera.

-Advertisement-

Noor Balqis, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Nurul Huda, Kajang Sebidang antara 34 calon sekolah itu yang mengambil peperiksaan Ujian Bertutur di SMK Chabang Empat berikutan sekolahnya ditenggelami air.

Dia berkata, seawal jam 6.45 pagi lagi dia tiba di sebuah masjid di Chabang Empat yang dijadikan tempat berkumpul manakala rakannya yang lain menumpang tidur di masjid terbabit malam tadi.

“Saya dan keluarga sudah beberapa hari menumpang tidur di kedai gunting bapa saudara dekat sini dan dihantar olehnya menaiki pikap ke masjid yang dijadikan tempat berkumpul.

“Seterusnya saya bersama 33 lagi rakan dari sekolah sama menaiki trak tentera untuk menghadiri Ujian bertutur Bahasa Melayu hari ini kerana laluan ke sekolah masih dilimpahi air,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sekolah hanya nampak bumbung

Noor Balqis berkata, rumahnya di Kampung Kajang Sebidang masih lagi dimasuki air dengan paras 1.5 meter (m) di luar rumah manakala sekolahnya pula hanya nampak bumbung sahaja.

-Advertisement-

Mujurlah tingkat atas rumahnya masih belum tenggelam menyebabkan banyak barangan disimpan di bahagian itu termasuk peralatan sekolah.

“Bagaimanapun baju sekolah hanya tinggal sepasang sahaja kerana dihanyutkan banjir namun peralatan lain masih selamat.

“Banjir yang berlaku ini agak memberi kesan pada psikologi saya tapi tetap cekalkan hati selain menganggap ia ujian dari Allah,” katanya.

Seorang lagi calon SPM dari SMK Chabang Empat, Umi Fara Qistina Maliki, 17, berkata kawasan rumahnya di Kampung Bahagia, di sini selamat dari banjir namun laluan untuk keluar dilimpahi air.

Dia berkata, biasanya akan menunggang motosikal ke sekolah tapi memandangkan situasi terkepung yang dialami, dia dihantar oleh bapanya ke sekolah pagi tadi.

“Dengan menaiki pacuan empat roda, kami meredah banjir sejauh kira-kira 500m sebelum tiba dengan selamat di sekolah.

“Guru ada mencadangkan agar saya tinggal di asrama sekolah tapi saya menolak kerana lebih selesa membuat ulang kaji di rumah lagipun setakat ini laluan masih boleh digunakan asalkan menaiki kenderaan berat,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427