KUALA LUMPUR, 1 Mac — Sime Darby Plantation Bhd (SDP) telah melantik Impactt Ltd sebagai penilai pihak ketiga kepada suruhanjaya penilaian hak asasi manusia pihak berkepentingan yang baru ditubuhkan bagi menjalankan penilaian terhadap amalan buruh dalam operasi SDP di Malaysia.
Impactt adalah perunding perdagangan yang beretika dengan kepakaran mengesan dan membaiki isu buruh paksa dalam rantaian bekalan syarikat selaras dengan 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai buruh paksa.
SDP dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata suruhanjaya itu juga akan terdiri daripada panel perundingan pihak berkepentingan yang akan memberikan pandangan tambahan mengenai kaedah penilaian Impactt, ini akan memantapkan lagi kredibiliti ke atas keseluruhan proses tersebut.
“Panel pihak berkepentingan ini juga dijangka mengkaji sama ada indikator buruh paksa dikesan dalam operasi SDP, dan jika ada, perlu ditentu sejauh mana kebenaran isu ini.
“Panel ini juga akan mengkaji apa-apa cadangan mengenai pelan pemulihan untuk dilaksanakan oleh Impactt, yang akan menawarkan pihak berkepentingan pengawasan yang bebas dan telus,” katanya.
SDP berkata anggota panel berkepentingan tersebut merangkumi Shift, pusat kepakaran terkemuka mengenai Prinsip Panduan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia PBB; Andy Hall, seorang aktivis hak pekerja asing dan penyelidik hak asasi manusia; termasuk wakil Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perladangan (NUPW), kesatuan sekerja terbesar bagi pekerja ladang di Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha, penubuhan suruhanjaya itu adalah langkah penting dan telus yang diambil syarikat dalam usaha mengorak langkah ke hadapan.
“Dengan kerjasama pakar-pakar yang berwibawa disebabkan pengetahuan dan kebebasan mereka, kami akan dapat mengukuhkan kedudukan jika terdapat sebarang jurang dalam operasi kami dan bekerja dengan pantas bagi menutupnya.
“Objektif kami adalah untuk memastikan pekerja kami mendapat hasil yang lebih baik, yang kami harapkan dapat dicapai pada kesimpulan inisiatif ini,” katanya.
Pada masa yang sama SDP berharap untuk memastikan pihak berkepentingan dan orang ramai bahawa kepercayaan mereka terhadap SDP selama ini diletakkan dengan baik, tambahnya.
Pada 30 Dis, 2020, Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat mengeluarkan Perintah Pelepasan Ditahan (WRO) terhadap minyak sawit SDP berdasarkan “maklumat yang mencerminkan kewujudan kesemua 11 elemen Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai buruh paksa dalam proses pengeluaran SDP”.
WRO berkenaan dikeluarkan selepas satu petisyen difailkan pada April 2020 terhadap SDP, yang kemudiannya diumumkan pada Julai 2021. -BERNAMA