‘Saya menjerit minta penghuni kedai papan keluar selamatkan diri selepas sederet bangunan di depannya terbakar’

Estimate Reading Time: < 1 minute

JITRA: “Saya menjerit sekuat hati untuk mengejutkan pemilik dan pekerja kedai papan berdepan bangunan sedang terbakar supaya keluar menyelamatkan diri dan kenderaan mereka. Ketika itu api masih kecil dan mujurlah mereka yang sedang nyenyak tidur akhirnya terjaga dan bergegas keluar daripada situ,” kata Safirun Mohamad, 44.

-Advertisement-

Dalam kejadian pada kira-kira jam 5 pagi itu, empat unit kedai dua tingkat di Jalan Kampung Naga, Pekan Kepala Batas, di sini, yang dijadikan stor penyimpanan barangan perkakasan musnah dalam kebakaran, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Safirun berkata, dia menyedari kejadian itu selepas ternampak api kecil di bahagian bumbung bangunan kedai berkenaan.

Katanya, ketika itu dia sedang berehat bersama empat rakannya selepas menutup kedai tambah nilai telefon bimbit miliknya tidak jauh dari bangunan terbakar itu.

“Saya dengar bunyi seakan percikan api sebelum ternampak api di atas bumbung dan terus menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan kepada bomba.

“Ketika itulah saya menjerit meminta semua yang ada dalam kedai papan berhampiran bangunan sedang terbakar itu keluar menyelamatkan diri kerana ketika itu mereka sedang tidur. Api pula marak terlalu cepat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

-Advertisement-

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohd Bustan Karudin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 5.10 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota BBP Jitra diketuai Ahmad Nazril Ab Rahman dan dibantu pasukan BBP Alor Setar tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Kebakaran itu membabitkan empat unit kedai menjual barang perkakasan di premis dua tingkat itu namun tiada mangsa dilaporkan berada di kawasan itu.

“Kebakaran itu menyebabkan kemusnahan 90 peratus dan api berjaya dikawal pada jam 5.36 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu dan punca serta kerugian masih dalam siasatan. Api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 7.29 pagi tadi,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427