Satu Pencapaian Baharu Dalam Menjejak Kitaran Ekonomi Melalui Visualisasi

Estimate Reading Time: < 1 minute

Putrajaya, 6 Dis 2019 (The Capital Post) – Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengadakan Majlis Pelancaran Malaysia Business Cycle Clock (MBCC) yang dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia. Majlis ini telah dihadiri seramai 110 orang jemputan yang terdiri daripada pegawai kerajaan dan penyelidik.

-Advertisement-

MBCC merupakan inovasi terbaharu Jabatan untuk menggambarkan secara visual Indeks Pelopor (IP) dan Indeks Serentak (IS) yang telah diterbitkan secara bulanan.

YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata “Pembangunan MBCC ini setanding dengan inisiatif National Statistical Office (NSO) lain seperti Netherlands Business Cycle Tracer, Korea Business Cycle Clock dan OECD Business Cycle Clock. Dengan adanya MBCC ini akan memberi dimensi baharu kepada pengguna untuk memahami pergerakkan kitaran ekonomi secara visual dan mesra pengguna berbanding melihat data siri masa. Inovasi ini memberikan nilai ditambah kepada pengeluaran produk-produk baharu Jabatan selain daripada pelbagai produk sedia ada.”

IP mengukur jangkaan hala tuju keseluruhan aktiviti ekonomi untuk masa hadapan. Indeks ini berupaya memberikan isyarat awal arah tuju ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan. Manakala, IS adalah ukuran komprehensif terhadap prestasi ekonomi semasa. Ia juga merupakan gambaran kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar bulanan.

-Advertisement-

Bagi memastikan kebolehpercayaan statistik yang dikeluarkan, penyusunan indeks ini menepati garis panduan yang disarankan oleh Business Cycle Indicators Handbook, The Conference Board.

Untuk manfaat bersama, pengguna boleh melayari www.dosm.gov.my di bawah pautan Visual Interaktif bagi senario ekonomi Malaysia setiap bulan. – The Capital Post


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373