Sambutan Maulidur Rasul 2022 bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Sambutan Maulidur Rasul 2022 bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Ahad ini

-Advertisement-

menampilkan kelainan dengan mengetengahkan inovasi atau suntikan elemen teknologi persembahan seni media pemetaan cahaya yang memaparkan tayangan grafik berinteraksi dengan fasad latar pentas (astaka).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, persembahan khas juga diadakan bagi mengambil semangat kecintaan sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa dari sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Katanya, persembahan khas itu diadaptasikan dengan kepelbagaian penyampaian yang berunsurkan keislaman yang menggabungkan pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan yang bersatu atas nama Islam.

“Bagaimanapun, acara perarakan yang menjadi acara lazim sambutan pada setiap tahun tidak diadakan tahun ini,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Tema sambutan Maulidur Rasul 2022 tahun ini bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pendekatan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang diperkenalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan hadir pada majlis berkenaan.

Sambutan bermula jam 9.30 pagi ini turut dihadiri Perdana Menteri bersama isteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Hakimah berkata, seperti kelaziman sambutan ini turut mengadakan upacara penyampaian Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul kepada individu yang layak.

-Advertisement-

Sambutan kali ini, katanya, akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul sebagai pengiktirafan kepada individu yang layak dan banyak memberi sumbanganbermakna dalam pembangunan ummah dan negara.

Katanya, penerima anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbang untuk pembangunan Islam yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara.

“Pemilihan penerima ini diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul SAW yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.

Sementara itu, sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan akan diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Rabu ini.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan rakan strategik akan menganjurkan majlis bermula jam 8 pagi.

Katanya, aktiviti dimulakan dengan perarakan kontinjen Maulidur Rasul SAW yang disertai 22 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta sekitar Wilayah Persekutuan dengan jumlah penyertaan sekitar 660 orang.

Katanya, majlis turut diserikan dengan acara persembahan nasyid dan pantomim oleh murid dari Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ).

“Acara kemuncak majlis ini adalah pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1444H/2022M iaitu Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Individu, Anugerah Khas Organisasi Kategori Masjid, Surau, Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Menengah Agama, dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427