CALI: Strategi membiayai pemuliharaan alam semulajadi yang dibincangkan pada sidang kemuncak biodiversiti Persidangan Pihak-pihak (COP16) menemui jalan buntu susulan kurang kesepakatan dalam kalangan negara anggota.
Sidang mengenai kepelbagaian biologi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) itu memasuki minggu kedua di bandar pergunungan Cali, Colombia, dengan saintis memberi amaran masa semakin suntuk untuk menyelamatkan flora dan fauna global.
Kemerosotan alam semula jadi dan kepupusan spesies pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini turut mendorong saintis mengeluarkan amaran bahawa tiada masa lagi untuk dibazirkan.
Ini berikutan kira-kira 38 peratus daripada spesies flora dunia, bersamaan dengan 16,425 spesies, didapati berisiko kepupusan hasil pembalakan dan penebangan hutan untuk memberi laluan kepada pertanian, perlombongan, pembinaan jalan raya serta pembangunan lain.