Rumus segera formula persaraan bela nasib warga emas

Estimate Reading Time: 3 minutes

MALAYSIA sedang menuju ke arah negara menua dengan jangkaan lebih 15 peratus penduduknya berusia 60 tahun ke atas menjelang 2030.

-Advertisement-

Bagaimanapun, perubahan demografi ini disertai dengan cabaran kewangan ketara bagi warga emas yang sering terpaksa bergantung kepada sumber pendapatan tidak formal dan terpaksa berjuang untuk menampung kehidupan.

Menurut statistik terkini, 22.7 peratus isi rumah diketuai warga emas mengalami kemiskinan dengan ramai bergantung kepada anak untuk mengukuhkan sokongan kewangan mereka.

Kajian Universiti Malaya (UM) baru-baru ini mendapati lebih separuh responden warga emas menghabiskan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka dalam tempoh tiga tahun selepas bersara.

KWSP mendedahkan statistik membimbangkan iaitu hampir 70 peratus pencarum mempunyai simpanan kurang RM 50,000. Bagi kebanyakan orang, simpanan ini tidak mencukupi untuk menampung kehidupan persaraan selesa, terutama dengan kos sara hidup dan perbelanjaan perubatan semakin meningkat.

Cabaran kewangan warga emas diburukkan lagi dengan kekurangan perlindungan keselamatan sosial dan perancangan persaraan tidak mencukupi. Hanya 45.2 peratus daripada mereka yang berusia 55 hingga 64 tahun bekerja di Malaysia, manakala ramai terpaksa terus bekerja sehingga usia tua kerana keperluan kewangan.

Tambahan pula, laporan Tabung Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) mengenai Malaysia menunjukkan hanya 30 peratus warga emas mempunyai beberapa bentuk pencen, sama ada daripada kerajaan atau sektor swasta.

Majoriti warga tua bergantung kepada simpanan peribadi, sokongan keluarga atau terus bekerja sehingga usia tua untuk menampung hidup. Keadaan ini amat membimbangkan bagi mereka yang tidak mempunyai sejarah pekerjaan formal, seperti suri rumah dan pekerja sektor tidak formal yang sering tiada simpanan atau keselamatan sosial untuk bergantung.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menganggarkan lebih 80 peratus wanita tua di kawasan luar bandar bergantung kewangan kepada keluarga atau program bantuan sosial.

Menyedari cabaran masa depan ini, kerajaan merangka pembaharuan dalam rangka kerja pencen dan persaraan bagi meningkatkan perlindungan, kecukupan dan kemampanan.

Kerajaan juga bercadang menaikkan kedua-dua siling dan lantai ekonomi dalam memastikan pertumbuhan ekonomi bermanfaat kepada lebih ramai rakyat secara keseluruhan.

Kerajaan hari ini memulakan beberapa program mengurangkan beban kewangan warga emas. Program Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) memberikan sokongan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah, termasuk warga emas. Selain itu, skim MySalam menawarkan perlindungan penyakit kritikal kepada individu yang layak, termasuk warga emas.

Namun, pakar berpendapat langkah diwujudkan kerajaan masih tidak mencukupi. Pakar ekologi manusia, Dr Sharifah Norazizan Syed Abd Rashid daripada Institut Gerontologi Universiti Putra Malaysia (UPM) menekankan perlu strategi jangka panjang komprehensif bagi menangani isu warga emas miskin di negara ini.

-Advertisement-

Antaranya, Malaysia memerlukan sistem keselamatan sosial yang kukuh meliputi semua warga emas, termasuk pekerja sektor tidak formal. Selain itu, peningkatan beransur-ansur dalam skim pencen dan insentif lebih besar untuk simpanan peribadi adalah penting.

Antara langkah awal kerajaan adalah pelaksanaan program perintis gaji progresif di bawah Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bertujuan menangani isu gaji bagi meningkatkan tahap pendapatan serta meningkatkan kualiti hidup.

Atasi ‘tsunami warga emas’ miskin

Pakar memberi amaran negara ini berisiko menghadapi ‘tsunami warga emas’ yang hidup dalam kemiskinan. Prof Madya Zumilah Zainalaludin daripada Fakulti Ekologi Manusia UPM menekankan keperluan untuk pertimbangan serius daripada semua pihak bagi menangani isu ini.

Menangani masalah kewangan penduduk tua Malaysia memerlukan pendekatan pelbagai aspek. Ia perlu tindakan susulan seperti meningkatkan kesedaran awam mengenai perancangan persaraan dan literasi kewangan.

Selain itu, kerajaan bersama pihak berkepentingan wajar memperluas liputan keselamatan sosial dan skim pencen untuk merangkumi pekerja sektor tidak formal bagi menyediakan jaringan keselamatan mereka.

Kerjasama awam-swasta juga boleh memainkan peranan penting bagi mendepani isu pertambahan warga tua miskin pada masa depan. Kerajaan patut menggalakkan syarikat swasta menjalankan program tanggungjawab sosial korporat yang fokus bantuan kepada warga emas.

Kerajaan juga harus menggalakkan syarikat swasta menawarkan rancangan persaraan dan insentif simpanan, bersama skim disokong kerajaan kepada pekerja bagi membantu membina asas kewangan lebih kukuh untuk warga emas.

Kesimpulannya, ketika Malaysia bergerak ke arah menjadi masyarakat menua, tumpuan perlu diberikan terhadap aspek perlindungan kewangan bagi warga emas dan mesti menjadi keutamaan negara.

Dengan pelaksanaan pelan perlindungan komprehensif, kesejahteraan warga emas miskin dapat dipertingkatkan, sekali gus memberikan mereka kehidupan lebih selesa dan bermaruah.

Tanpa tindakan tegas dan terancang, sebahagian besar penduduk akan menghadapi masa depan tidak menentu. Justeru, sekarang adalah masa kritikal bagi kerajaan bertindak merangka formula mengukuhkan kedudukan kewangan warga emas bagi memastikan mereka dapat menikmati hidup tua dengan lebih terbela.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373