Rugi RM20,000 diperdaya panggilan video ‘polis beruniform’

Estimate Reading Time: 2 minutes

TELUK INTAN: Berpakaian seragam polis dan membuat panggilan video untuk meyakinkan mangsa dikesan menjadi taktik terbaharu sindiket penipuan mencari mangsa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata ia dialami seorang tukang masak berusia 46 tahun di sini yang kerugian RM20,000 diperdaya sindiket membuat panggilan video menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, mangsa wanita itu membuat laporan polis pada 5 Februari, selepas menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali dan mendakwa mangsa membuat tuntutan insurans di sebuah hospital swasta.
“Panggilan disambung kepada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

“Dalam panggilan video WhatsApp, mangsa melihat seorang lelaki berpakaian seragam polis berpangkat sarjan yang mendakwa mangsa terbabit kes pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudian dihubungkan kononnya dengan inspektor yang turut berpakaian seragam polis.

“Latar tempat suspek berada turut digambarkan seperti balai polis Ampang seperti dinyatakan dalam panggilan video itu dan menyatakan siasatan memerlukan kos RM20,000.

“Mangsa diperdaya apabila diminta bercakap dengan individu mengaku timbalan pendakwa raya bagi meyakinkan wang terbabit akan dipulangkan selepas siasatan selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, mangsa memasukkan wang secara berperingkat berjumlah RM20,000 ke akaun bank menerusi mesin deposit tunai (CDM) di sebuah bank di Teluk Intan pada 31 Januari lalu.

Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan kononnya untuk proses ikat jamin apabila kes selesai, selain diminta memusnahkan bukti pembayaran RM20,000 sudah dilakukan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Adnan berkata, polis menerima laporan pada jam 10.27 malam 11 Februari lalu daripada seorang pesara guru berusia 53 tahun yang diperdaya sindiket penipuan secara ‘phishing’ atau pancingan data, mengakibatkan kerugian RM64,218.

Katanya, wanita itu menekan pautan di laman Facebook sebelum diarah ke laman web palsu menyerupai institusi perbankan tempatan pada pagi 10 Februari lalu, kononnya bagi sesi cabutan bertuah anjuran institusi perbankan terbabit.

Katanya, mangsa memasukkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan maklumat perbankan sebelum anak jiran mangsa keesokannya memberitahu pernah menjadi mangsa penipuan.

“Mangsa membuat semakan di cawangan bank terbabit di Teluk Intan dan menyedari baki wang dalam akaunnya berkurangan daripada RM186,934 kepada RM122,716.

“Pihak bank mengesahkan berlaku 21 transaksi pemindahan wang ke 16 akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM64,218.

“Pihak bank mengambil tindakan segera dengan membekukan akaun termasuk akaun penerima bagi mengelak lebih banyak wang hilang,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464