Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri peningkatan selama empat hari berturut-turut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Jumaat ketika sentimen berhati-hati terus menguasai pasaran menjelang pengumuman mengenai barisan Kabinet baharu pada 11 pagi ini.

-Advertisement-

Menurut peniaga, penurunan ringgit itu turut berkait rapat dengan aktiviti pengambilan untung secara sederhana susulan peningkatan yang dicatatkan baru-baru ini.

Pada 9 pagi ini, ringgit berada pada paras 4.1995/2040 berbanding dolar AS daripada 4.1940/1965 pada akhir dagangan Khamis.

Seorang peniaga berkata, para pelabur dilihat enggan membuat sebarang keputusan penting pada masa ini dan sebaliknya memilih untuk memantau pengumuman anggota Kabinet berkenaan, terutama jawatan Menteri Kewangan, tugas penting yang boleh mempengaruhi landskap ekonomi negara selepas ini.

Malah, antara spekulasi turut menyebut kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menggalas tugas penting itu.

-Advertisement-

Dalam pada itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0993/1030 daripada 3.0998/1021 pada Khamis, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7458/7519 daripada 5.7659/7693 dan naik berbanding euro kepada 4.9327/9380 daripada 4.9376/9405 semalam.

Bagaimanapun, ringgit sebaliknya susut berbanding yen kepada 3.8153/8197 daaripada 3.8075/8102 sebelum ini.

– Bernama – BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427