Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Rabu ketika pelabur bertindak mengetepikan sebahagian risiko selepas ekonomi AS memaparkan tanda-tanda penyusutan bagi jangka masa terdekat ini, kata peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.04 pagi ini, unit tempatan itu meningkat kepada 4.1460/1490 berbanding dolar AS daripada paras 4.1530/1575 sewaktu urus niaga ditutup pada Isnin.

Pasaran ditutup pada Selasa bersempena cuti umum Hari Kebangsaan.

Penganalisis Kanan Pasaran OANDA Edward Moya berkata impak varian Delta COVID-19 terhadap ekonomi AS berkemungkinan besar lebih ketara berbanding jangkaan awal dan boleh memberi kesan terhadap perbelanjaan bagi tempoh suku ketiga.

“Keyakinan pengguna AS menyaksikan penyusutan ketara berbanding jangkaan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) dan ini hanya meningkatkan lagi kebimbangan bahawa perbelanjaan pengguna telah mencecah paras kemuncak.

-Advertisement-

“Pihak Lembaga Persidangan negara itu berkata perbelanjaan bagi tujuan perumahan, kelengkapan auto dan utama telah reda. Namun terdapat sentimen optimis bagi segmen industri pengembaraan dan hospitaliti ketika pengguna terus membuat perancangan cuti bagi tempoh enam bulan akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, sewaktu urus niaga dibuka pagi ini, ringgit juga mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0812/0836 daripada 3.0848/0886 pada akhir urus niaga Isnin dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7626/7653 daripada 3.7813/7854 sebelum ini.

Ringgit juga mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6949/6991 daripada 5.7116/7178 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8931/8966 daripada 4.9001/9054, sebelumnya.

– Bernama -BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427