KUALA LUMPUR: Coca-Cola Malaysia dan QSR Brands (M) Holdings Bhd, pemilik francais serta pengendali restoran KFC dan Pizza Hut mengumumkan kerjasama beberapa tahun yang menyaksikan Coca-Cola akan menjadi pembekal minuman kepada cawangan makanan segera itu di Malaysia.
“Bermula Ogos (2022), Coca-Cola Malaysia adalah pembekal minuman KFC dan Pizza Hut, menghidangkan pelbagai minuman Coca-Cola menyegarkan di restoran KFC dan Pizza Hut.
“Semua 1,180 restoran KFC dan Pizza Hut di seluruh negara dijangka beralih sepenuhnya untuk menghidangkan produk Coca-Cola menjelang awal September,” kata Coca-Cola Malaysia dan QSR dalam satu kenyataan.
Sebelum kerjasama Coca-Cola Malaysia-QSR, restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia menghidangkan jenama Pepsi kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR, Nehchal Khanna, berkata kumpulan komited untuk meningkatkan tahap perkhidmatan, inovasi dan kepuasan pelanggan.
“Sejak dua tahun lalu, kami mampu berkembang di sebalik cabaran sedia ada dengan menginovasi semua bidang perniagaan dan akan terus berbuat demikian.
“Kami percaya kerjasama ini akan terus memperluaskan capaian kami dan berharap untuk terus menggembirakan pelanggan,” katanya.
Pengarah Francais Coca-Cola Malaysia, Amruta Vaidya, berkata Coca-Cola, KFC dan Pizza Hut percaya dengan falsafah serupa iaitu menjadikan hidangan lebih enak dinikmati untuk rakyat Malaysia.
“Di Coca-Cola, falsafah kami sebagai sebuah jenama dan syarikat adalah sentiasa untuk menjadi sebahagian dan meraikan saat-saat apabila rakan serta keluarga menikmati hidangan bersama minuman Coca-Cola atau mana-mana minuman kami yang enak dan menyegarkan,” katanya.
Produk popular, Coca-Cola Zero Sugar, yang akan disediakan di cawangan KFC dan Pizza Hut, adalah sebahagian daripada portfolio ‘Simbol Pilihan Lebih Sihat’ Coca-Cola Malaysia.
Coca-Cola Malaysia kekal komited untuk menyokong usaha mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia sambil memberikan minuman rasa hebat yang digemari ramai.
-BH