Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 usah sampai pinggirkan rakyat sendiri

Estimate Reading Time: 3 minutes

Migrasi buruh asing ke Malaysia bermula seawal abad ke-19. Mereka diambil bekerja dalam bidang pertanian, pembinaan dan perlombongan. Kebanjiran pekerja asing ke Malaysia bukan isu baharu.

-Advertisement-

Bermula Februari 2022, sekatan pengambilan pekerja asing ditarik balik selepas COVID-19 berakhir dan kebanjiran mereka di negara ini berlaku dalam sekelip mata. Setakat Jun 2022, Jabatan Perangkaan merekodkan seramai 2.1 juta pekerja asing bekerja dalam pelbagai sektor di Malaysia berbanding 1.9 juta pada 2021.

Sehingga kini, jumlah sebenar pekerja asing di Malaysia masih menjadi teka-teki memandangkan jumlah yang berdaftar adalah serendah satu pertiga daripada jumlah keseluruhannya. Angka ini menjadi tanda aras kerana ia memberi petunjuk betapa besar masalah kebanjiran pekerja asing di negara ini.

Sementara itu, sejak 27 Januari lalu, kerajaan mengumumkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0). Program ini bertujuan memastikan pekerja asing bekerja di negara ini secara tidak sah didaftar untuk bekerja secara sah.

Program ini adalah strategi serampang dua mata iaitu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam negara serta menguatkuasakan undang-undang imigresen.

Bagi di Semenanjung, tempoh pelaksanaan program rekalibrasi ini bermula pada 27 Januari sehingga 31 Disember ini, manakala di Sarawak, program ini bermula pada 1 Julai dan berakhir pada tarikh sama.

Program RTK 2.0 ini mengiktiraf hanya 15 negara sumber iaitu dari Indonesia, Bangladesh, Thailand, India, Filipina, Kemboja, Laos, Nepal, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Kazakhstan serta tambahan dari China bagi Sarawak.

Setakat 14 Julai lalu, terdapat 370,668 permohonan terdiri daripada 51,753 majikan dan 720,099 pendatang asing tanpa izin (PATI). Program RTK 2.0 di Selangor merekodkan permohonan tertinggi berbanding negeri lain dan memperoleh kutipan hasil levi dan kompaun lebih RM100 juta antara Januari hingga 10 Mei lalu.

Kutipan itu adalah hasil permohonan dan pendaftaran seramai 182,754 PATI didaftarkan menerusi program ini. Secara khususnya program ini akan memberikan banyak manfaat kepada majikan dan PATI serta memudahkan kerajaan mengawal keberadaan pekerja asing di sini.

Ia juga memudahkan majikan untuk menggaji mereka dalam sektor tersenarai di bawah Jabatan Imigresen sahaja. Majikan sepatutnya mengambil kesempatan menyertai program ini yang mana majikan mengambil PATI bekerja boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 iaitu denda RM10,000, tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap pekerja diambil bekerja.

Malangnya, meskipun kerajaan berjaya memenuhi permintaan majikan dan mengawal jumlah PATI di negara ini, lambakan pekerja asing menyebabkan pasaran buruh tepu dan akan mengakibatkan lebihan pekerja dalam sektor tertentu serta persaingan meningkat untuk bilangan pekerjaan terhad.

Paling membimbangkan, kesan terbesar program RTK 2.0 ini adalah dari aspek keselamatan. Tapisan keselamatan semestinya tidak berlaku dan mereka berpotensi terbabit dengan kegiatan jenayah serta kawalan keselamatan sukar dilakukan.

Masalah berkait warga asing sedia ada masih tidak terkawal ditambah pula kebanjiran mereka melalui program ini hanya ibarat ‘menambah garam ke atas luka’. Mereka bebas berjalan, ‘besar kepala’ dan mula mencabar keharmonian negara dengan pelbagai provokasi serta mula meminta hak sama seperti warga tempatan.

Memang tidak dapat dinafikan kewujudan pekerja asing memberikan impak besar terhadap ekonomi negara, namun sebaliknya, kehadiran mereka juga menjadi satu daripada punca masalah sosial dan jenayah.

-Advertisement-

Wujud ejen haram jual pekerja

Masalah baharu pula wujud iaitu menggalakkan ejen haram cuba menjual pekerja diperdagangkan kepada agensi buruh berlesen, tanpa takut implikasi undang-undang.

Pekerja asing jika tidak diurus dengan betul memberikan potensi besar kepada amalan buruh paksa. Cubaan pemasaran daripada ejen tidak berlesen atau ‘ulat’ ini dikatakan mencapai skala tidak pernah berlaku sebelum ini.

Kesalahan penyeludupan migran termaktub mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATISOM).

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun atau denda atau kedua-duanya. Akta ini instrumen perundangan utama negara mendepani isu perhambaan zaman moden, sekali gus membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.

ATISOM (Pindaan) 2022 (Akta A1644) berkuat kuasa pada 22 Februari 2022 dilaksanakan bagi memperkasakan peruntukan berkaitan usaha negara untuk meningkatkan keberkesanan tindakan menangani kedua-dua jenayah dinyatakan.

Namun sebaliknya, usaha dilakukan kerajaan masih tidak mencukupi. Menurut Laporan Pemerdagangan Orang dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, kerajaan tidak sepenuhnya memenuhi standard minimum untuk penghapusan pemerdagangan orang, justeru Malaysia tetap kekal berada di Tahap 3. Beberapa langkah diambil kerajaan untuk menangani pemerdagangan orang masih tidak berkesan.

Terdapat kelemahan ketara yang mana siasatan antipemerdagangan merosot dan kerajaan tidak mendakwa atau mensabitkan pegawai kerajaan didakwa terbabit dalam jenayah pemerdagangan.

Kegagalan kerajaan dalam mengatasi pemerdagangan orang memberi ruang penganiayaan majikan dan kerajaan juga tidak secara konsisten mengenal pasti dan melindungi mangsa dengan prosedur operasi standard jelas.

Kerjasama lemah antara agensi dan layanan perlindungan mangsa pemerdagangan juga menyebabkan mangsa tidak dilindungi.

Dalam keghairahan kita merancakkan ekonomi negara seusai COVID-19, kerajaan harus berhati-hati supaya kerancakan ekonomi bergerak seiring dengan keharmonian negara.

Pemantauan daripada semua agensi berkaitan amat perlu supaya keselamatan dan kedaulatan negara tidak terancam dan dikompromi.

Jangan nanti akibat kerakusan kita hendak membina negara maju, rakyat sendiri dipinggirkan ibarat pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Masa depan negara bergantung kepada kerjasama semua pihak dan tanggungjawab mulia ini perlu digalas bersama supaya generasi akan datang tidak merempat di negara sendiri.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, UNITEN Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427