KUALA LUMPUR : Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) berkaitan isu pemisahan sukarela (VSS) ahlinya pada 2017.
Keputusan itu berkaitan permohonan kebenaran rayuan NUBE berhubung memorandum persefahaman (MOU) 2010 antara kesatuan itu dan bank HSBC.
Tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan sebulat suara MoU oleh bank itu tidak terikat dengan Mahkamah Perusahaan.
Mahkamah juga memerintahkan NUBE membayar kos sebanyak RM30,000 kepada HSBC.
Dalam MoU berkenaan, HSBC menyatakan akan memberi notis tiga bulan kepada NUBE sebelum sebarang pelaksanaan VSS atau pemberhentian pekerja bank dilakukan.
Namun NUBE mendakwa HSBC hanya memberi notis dua bulan sebelum bank itu melaksanakan VSS.
NUBE dan HSBC menandatangani MOU untuk memastikan perlindungan hak majikan-pekerja semasa sebarang penstrukturan semula kerja pada tahun 2010.
Sekitar hujung tahun 2016, HSBC telah mula melakukan penstrukturan semula dengan mempelawa pekerja mahu terbabit dengan VSS itu.
HSBC juga telah memaklumkan kepada NUBE mengenai perkara itu sekitar Disember 2016 dan VSS pula mula dijalankan sekitar tahun berikutanya bulan Februari.
Pada 2018, NUBE membawa kes ini ke Mahkamah Perusahaan namun ditolak kerana MoU
tersebut tidak didaftarkan dan tidak boleh diguna pakai.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan keputusan itu sebelum NUBE membawa kes itu Mahkamah Persekutuan berkaitan isu VSS.
-BeritaHarian