KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd akan memperluaskan rangkaian perkhidmatan ‘Rapid KL On-Demand’ dengan melancarkan enam laluan baharu yang dijadualkan bermula 17 Februari 2025.
Pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT itu mengumumkan bahawa laluan-laluan baharu ini dirancang untuk menghubungkan kawasan-kawasan strategik yang memiliki kepadatan penduduk tinggi, lokasi yang masih kekurangan kemudahan pengangkutan awam, serta kawasan yang dapat disambungkan dengan perkhidmatan rel Rapid KL.
Antara laluan baharu yang diperkenalkan ialah Saujana Utama/Elmina – Jalan Kuala Selangor; Putra Heights – LRT Putra Heights; Taman Medan – Jalan Klang Lama; Pantai Sentral – LRT Universiti; Bandar Tun Razak – Taman Midah serta Danau Kota – Jalan Genting Kelang.
Laluan Putra Heights – LRT Putra Heights dan Pantai Sentral – LRT Universiti akan menawarkan sambungan terus dengan perkhidmatan rel Rapid KL, manakala laluan Danau Kota – Jalan Genting Kelang dan Taman Medan – Jalan Klang Lama pula akan melalui lorong khas bas di Jalan Genting Kelang dan Jalan Klang Lama. Ini membolehkan pengguna meneruskan perjalanan mereka dengan menggunakan perkhidmatan bas Rapid KL di laluan-laluan tersebut.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Ku Jamil Zakaria, berkata pengenalan enam laluan baharu itu adalah lanjutan daripada kejayaan pelancaran empat laluan baharu pada 1 Februari lalu. Beliau turut memaklumkan bahawa laluan-laluan baharu itu meliputi kawasan-kawasan sekitar Taman Desa, Taman Genting Setapak, Putrajaya Sentral dan Bangsar.
“Selepas hampir dua minggu beroperasi, perkhidmatan ini telah mencatatkan lebih 1,700 pengguna, dan kini kami telah mengoperasikan 13 laluan di Lembah Klang. Ini memberi peluang kepada para pengguna untuk menikmati rangkaian perkhidmatan baharu, terutamanya dalam memudahkan perjalanan pertama dan terakhir (first mile last mile),” jelas Ku Jamil dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menambah, Rapid Bus akan terus menambah laluan-laluan baharu secara berperingkat, sejajar dengan penerimaan van-van baharu dalam usaha meningkatkan perkhidmatan. Inisiatif ini juga adalah langkah berterusan Rapid Bus untuk menyediakan pilihan pengangkutan awam yang lebih mudah dan efisien bagi mendorong lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.
Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan kemudahan tempahan tempat duduk yang dijamin setiap hari melalui aplikasi Mobi, Trek Rides atau Kummute (mengikut kawasan) dari jam 6.00 pagi hingga 11.30 malam. Dengan tambang promosi RM1.00 bagi setiap perjalanan, pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan kad Touch ‘n Go, kad Konsesi MyRapid, pas perjalanan OKU Smile, serta pas perjalanan tanpa had.
-BeritaHarian