Ramai rayu lanjut pelajaran ke KPTM – Asyraf Wajdi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) menjadi pilihan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila hanya dua daripada tujuh kampus masih merekodkan kekosongan untuk pengambilan baharu.

Ketika ini jumlah pengambilan pelajar baharu di KPTM Kuantan mencapai 97 peratus dengan hanya 20 kekosongan daripada 720 keseluruhan, manakala di KPTM Ipoh, hanya 54 kekosongan daripada 660 tempat dengan pengambilan mencecah 92 peratus.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau dimaklumkan ramai pemohon membuat rayuan untuk memasuki KPTM dengan jumlah pengambilan kini hampir 100 peratus.

“Lepas Subuh baca mesej, ramai merayu Kolej Poly-Tech MARA (KPTM). Saya dimaklumkan CEO KPTM, hanya KPTM Ipoh dan KPTM Kuantan yang masih ada (kekosongan) tidak sampai 50 tempat sahaja lagi. Ramai nak masuk MARA.

“Untuk KPTM Ipoh, ada 54 sahaja lagi kekosongan. Untuk KPTM Kuantan hanya berbaki 20 tempat sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Institusi pendidikan kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu mempunyai tujuh kampus cawangan serta satu kolej universiti.

Dalam pada itu, katanya dalam menjaga kesejahteraan pelajar KPTM, pihaknya sudah meminta pihak pengurusan institusi pendidikan itu memastikan kebajikan pelajar diambil kira dengan serius.

“Kalau ada sebarang keluhan, segera dan cuba sedaya upaya untuk tangani dan selesaikannya. Jika ada implikasi kewangan maklumkan kepada pihak MARA segera.

“Insya-Allah saya akan bawa ke peringkat Majlis MARA dengan segera untuk diperhalusi dan dibantu,” katanya.

Beliau berkata MARA juga berusaha semaksimum mungkin untuk terus aktif berkolaborasi dengan pihak industri dan memastikan kurikulum dan modul yang ditawarkan relevan dan ada nilai tambah.

“Seperti tambahan pengiktirafan profesional daripada pihak industri. Ini penting untuk membolehkan pelajar dapat pekerjaan dengan gaji bermaruah setelah tamat belajar,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata MARA masih mengekalkan peratusan kebolehpasaran graduan institusi pendidikan MARA (IPMA) melebihi 95 peratus iaitu lebih tinggi berbanding institusi pendidikan lain.

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464