Ramai pekerja asing sah sukar buat tuntutan PERKESO

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendedahkan ramai pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini menghadapi kesulitan membuat tuntutan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

-Advertisement-

Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata pekerja asing berkenaan selalu menghadapi masalah tuntutan membabitkan rawatan dan pampasan akibat kecederaan di tempat kerja.

Beliau berkata, MTUC juga menzahirkan keprihatinan terhadap nasib jutaan pekerja asing tanpa permit yang dinafikan sebarang kemudahan atau pampasan kemalangan di tempat kerja.

“Pekerja migran sebelum ini mendapat perlindungan PERKESO, namun pada 1993, kerajaan mengalihkan soal tuntutan dan pampasan untuk pekerja asing mengikut Akta Pampasan Pekerja 1952.

“Peralihan itu menyebabkan ketidaksamarataan meluas dalam layanan pekerja asing berbanding pekerja tempatan yang menikmati kemudahan PERKESO, sekali gus isu itu mendapat perhatian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 1996.

“Sehubungan itu, kerajaan harus menimbang untuk mendaftar dan memberi pengiktirafan kepada golongan ini, sekali gus memastikan Malaysia menepati semua peruntukan Konvensyen 19 ILO,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Solomon berkata, konvensyen berkenaan jika dipatuhi akan menjamin kesamarataan dalam kemudahan dan layanan terhadap semua pekerja bersabit pampasan kemalangan, selain menangani masalah pekerja tidak sah ditindas pelbagai pihak.

-Advertisement-

Katanya, MTUC lantang mendesak keadaan itu diperbetulkan supaya Malaysia mematuhi Konvensyen 19 ILO.

“Hasil desakan terbaru, pada Jun 2018, ILO mengutus sebuah misi khas untuk memastikan tahap kepatuhan Malaysia terhadap C19.

“Misi ini yang dinamakan Direct Contact Mission (DCM) juga bertujuan membantu kerajaan dan pihak berkepentingan untuk melaksanakan syor bersabit piawaian antarabangsa mengenai layanan dan pampasan kemalangan untuk pekerja.

“Masalah pekerja asing menikmati kemudahan PERKESO masih belum ditangani dengan berkesan kerana kurang dialog dan rundingan bermakna antara rakan kongsi tripartite terhadap isu itu,” katanya.

Menurut Solomon, DCM akan membuat laporan mengenai hasil rundingannya dengan pelbagai pihak di Malaysia untuk membolehkan badan dunia itu mengambil tindakan susulan dan mengemukakan syor kepada kerajaan.

Katanya, langkah itu bermatlamat membantu kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan pekerja asing mempunyai skim perlindungan yang mampu membela nasib mereka.-Bharian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427