Rakyat dibawa pulang dari Wuhan perlu lepasi pemeriksaan 4 fasa, kata menteri

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang terkandas di bandar Wuhan di wilayah Hubei, China dan anggota pasukan misi membawa pulang mereka ke tanahair dikehendaki melepasi pemeriksaan pada setiap fasa misi membawa pulang itu, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly pada sidang media hari ini menerangkan misi penghantaran itu terbahagi kepada 4 fasa iaitu sebelum berlepas ke Wuhan, semasa membawa pulang, ketibaan di tanah air, dan kemasukan ke pusat pemantauan, di mana mereka akan dikuarantin selama 14 hari.

Semua 167 rakyat Malaysia yang terkandas, serta anak kapal dan anggota pasukan perubatan dalam misi itu perlu melepasi saringan di setiap peringkat sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“Kementerian sentiasa memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi akan dipatuhi sepenuhnya sepanjang misi bantuan kemanusiaan itu,” kata Dzulkefly pada sidang media hari ini.

Dzulkefly menerangkan pada fasa pertama, hanya mereka yang didapati sihat selepas melepasi saringan kesihatan pihak berkuasa kesihatan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe akan dibawa pulang.

FMT difahamkan misi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas itu, yang diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), dijangka akan berlepas ke Wuhan, pusat wabak koronavirus, pada 6.30 petang ini. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464