Putrajaya digesa tidak jadikan Orang Asli pekerja di tanah sendiri

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Aktivis hak Orang Asli menggesa Putrajaya tidak membuat keputusan bagi anggota komuniti itu, terutama tentang bagaimana dan di mana mereka harus mencari nafkah.

-Advertisement-

Tijah Yok Chopil dan Colin Nicholas berkata, Menteri Industri Peladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali tidak cermat ketika membuat kenyataan bahawa kementerian beliau kini berusaha menempatkan Orang Asli di sektor perladangan yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

Tijah, yang mewakili Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia memberitahu FMT bahawa lebih 90% anggota komuniti itu memang terlibat dalam pelbagai kerja di ladang dan pertanian di Pahang, Johor, Perak dan Selangor.

“Sebahagian tanah itu adalah milik nenek moyang kami. Kami mahu kerajaan mengiktiraf tanah warisan ini, yang kini dikatakan terletak di bawah kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya.

Beliau berkata, apabila pengiktirafan itu diberikan komuniti Orang Asli boleh mengusahakan tanah mereka sendiri, bukannya bekerja dengan orang lain.

Komuniti Orang Asli berjuang bagi mendapatkan hak ke atas nenek moyang mereka sejak sekian lama daripada kerajaan.

Mereka mengusahakan produk hutan di tanah adat terbabit selama berdekad-dekad, tetapi banyak daripada tanah berkenaan kini berada di bawah kerajaan negeri dan tidak lagi dianggap sebagai tanah rizab.

Nicholas, dari Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) berkata, Khairuddin harus menjelaskan kenapa beliau berfikir bahawa Orang Asli bersedia bekerja untuk gaji RM3,000 sebulan.

-Advertisement-

Katanya, sehingga 10 tahun lepas, mereka yang diberikan 2.4 hektar tanah di bawah skim Felda sudah pun memperoleh pendapatran antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.

Beliau menolak idea meminta Orang Asli bekerja untuk upah di tanah yang menurutnya merupakan hak mereka sendiri.

Katanya, sehingga 1980-an, Orang Asli mengusahakan tanah mereka sendiri dan mendapat hasil berdasarkan kerja yang mereka lakukan.

Di bawah rancangan semasa kerajaan, tanah Orang Asli diberikan kepada syarikat besar dan koperasi untuk dibangunkan bagi pihak komuniti itu.

Syarikat mengambil pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit dan getah.

Menurut Nicholas, sebagai pemegang saham, Orang Asli diberikan antara RM200 hingga RM800 sebulan.

“Jika mereka bekerja di tanah mereka sendiri, mereka boleh dapat lebih lagi,” katanya.

-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427