SANDAKAN : Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.
Lokasi tarikan pelancongan yang terletak di Batu 14, Sepilok Sandakan itu, terpaksa ditutup bagi mematuhi perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dilaksanakan 18 Mac lalu.
Pengasas BSBCC, Dr Wong Siew Te berkata, staf pusat itu yang terbabit secara langsung dengan penjagaan beruang masih bertugas seperti biasa termasuk beliau sendiri.
Katanya, kakitangan lain pula hanya bekerja dari rumah sahaja dan sepanjang tempoh PKP, pusat itu ditutup dan mereka kini memiliki masalah dalam mendapatkan sumber pendapatan.
“Kos operasi kami bergantung sepenuhnya dengan jualan tiket pelawat. Berdasarkan statistik kehadiran pelancong pada tahun lalu seramai lebih 84,000 orang pelancong melawat ke BSBCC.
“Sebanyak 60 peratus daripada pelancong itu adalah pelancong asing terutama dari United Kingdom (UK). Selebihnya pula pelancong tempatan.
“Dengan hasil jualan itu kami boleh menjalankan operasi dengan sempurna. Tetapi selepas lebih sebulan tidak boleh beroperasi, kami berdepan masalah dana ketika ini,” katanya ketika ditemui media.
Siew Te berkata, pusat konservasi itu kini hilang sumber pendapatan, sedangkan kos operasi sebulan yang diperlukan adalah sebanyak RM120,000.
“Ia merangkumi kos makanan lebih 40 ekor beruang, ubat-ubatan, gaji dan juga kos penyelenggaraan.
“Justeru, pihak kami merayu pihak kerajaan agar dapat menyalurkan bantuan dengan segera.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan sumbangan ataupun melalui program anak angkat beruang yang kami sediakan,” katanya.
Siew Te berkata, pihak yang ingin menyalurkan sumbangan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pusat itu di laman web mereka di www.bsbcc.org.my atau melalui laman sosial rasmi facebook pusat terbabit iaitu Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC).
-BH