Puluhan mayat dengan kesan diseksa ditemui berhampiran hospital di Damsyik

Estimate Reading Time: 2 minutes

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 40 mayat dengan kesan diseksa di temui di sebuah hospital berhampiran Damsyik semalam oleh kumpulan pejuang pemberontak.

-Advertisement-

Kesemu mayat itu dilaporkan disumbat ke dalam beg mayat bertulis nombor dan pada sesetengahnya, nama mangsa turut ditulis di atasnya.

Seorang pejuang dengan puak pemberontak, Mohammed al-Hajj, memaklumkan perkara itu kepada AFP menerusi telefon.

“Saya membuka pintu bilik mayat dengan tangan saya sendiri, ia adalah pemandangan yang mengerikan, kira-kira 40 mayat bertimbun menunjukkan tanda-tanda mangsa diseksa dengan kejam.

“Kami memaklumkan kepada komando tentera mengenai apa yang kami temui dan berkoordinasi dengan Bulan Sabit Merah Syria, yang membawa mayat-mayat itu ke hospital di Damsyik, supaya keluarga dapat datang dan mengenal pasti mereka,” katanya.

Rakaman oleh Mohammed menunjukkan mayat dengan tanda-tanda penyeksaan yang jelas, antaranya mata dan gigi dicungkil keluar, kesan darah dan lebam.

Rakaman yang diambil di hospital Harasta juga menunjukkan sehelai kain mengandungi tulang temulang, mayat yang mereput dengan tulang rusuk terdedah.

Kebanyakan mayat dimasukkan ke dalam beg plastik putih atau dibalut dengan kain putih yang sebahagiannya berlumuran darah.

Ada juga mayat diikat menggunakan cebisan kain atau pita pelekat yang mengandungi nombor dan kadangkala nama. Sebahagiannya masih pakaian manakala yang lain dalam keadaan bogel.

Ahad lalu, bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad, yang keluarganya yang memerintah Syria dengan cengkaman kuku besi selama lebih lima dekad digulingkan dan melarikan diri ke Russia.

-Advertisement-

Di teras sistem pemerintahan yang diwarisi Assad daripada bapanya, Hafez, terdapat kompleks penjara dan pusat tahanan yang kejam, digunakan untuk menghapuskan penentangan dengan menahan mereka yang disyaki mengingkari parti pemerintah, Baath.

Ribuan orang berkumpul di penjara Saydnaya dengan harapan untuk bersatu semula dengan orang tersayang, kebanyakannya dipenjarakan semata-mata kerana menentang rejim Assad atau kerana melakukan jenayah kecil.

Mohammed berkata, pejuang pemberontak menerima maklumat daripada seorang pekerja hospital mengenai mayat yang dibuang di sana dan melakukan siasatan.

Pengasas Persatuan dan Badan Pemerhati Tahanan Hilang di Penjara Sednaya (ADMSP), Diab Serriya berkata, mayat-mayat itu berkemungkinan adalah tahanan dari penjara Saydnaya.

“Hospital Harasta berfungsi sebagai pusat utama pengumpulan mayat tahanan.

“Mayat akan dihantar ke sana dari penjara Saydnaya atau Hospital Tishrin dan Harasta, sebelum dipindahkan ke kubur besar. Adalah sangat penting untuk mendokumentasikan apa yang kita lihat dalam video,” katanya.

Menurut pemantau perang Syrian Observatory for Human Rights yang berpangkalan di Britain, sekurang-kurangnya 60,000 orang terbunuh di bawah tahanan Assad.

Sejak permulaan konflik, kerajaan Assad dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia dan penyeksaan, rogol serta hukuman mati dengan sewenang-wenangnya.

Mohammed berkata beliau berharap usaha itu akan memberi tumpuan kepada mendedahkan jenayah yang dilakukan oleh Assad di penjara dan pusat tahanan sepanjang tempoh peralihan.

“Kami berharap Assad akan dipertanggungjawabkan sebagai penjenayah perang,” katanya.
– AFP
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427