Pulau Pinang pertimbang 3 pilihan untuk adakan sidang DUN

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang mempertimbangkan tiga pilihan bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang semula.

-Advertisement-

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pilihan pertama adalah mengadakan sidang khas DUN sebelum 1 Ogos ini setelah memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pilihan kedua katanya, mengadakan sidang khas DUN pada bulan depan apabila Ordinan Darurat ditamatkan tanpa memerlukan notis 28 hari.

Selain itu jelas beliau, pilihan ketiga adalah mengadakan sidang DUN dengan pembukaan rasmi oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Ogos atau September ini tertakluk kepada notis 28 hari.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat bersidang sebelum 1 Ogos ini di bawah peruntukan Ordinan Darurat.

-Advertisement-

“Kerajaan negeri akan mengikuti perkembangan terkini dan akan membuat keputusan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan persetujuan Tun Ahmad Fuzi untuk menulis warkah kepada Yang di-Pertuan Agong supaya hasrat mengadakan sidang DUN itu dapat dipertimbangkan menurut kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat.

Jelas beliau, sidang DUN itu sekiranya diperkenan akan mengambil kira apa-apa kaedah dan prosedur yang telah digunakan sebelum ini yang terbukti dapat mengawal jangkitan Covid-19 semasa sidang sama pada Oktober tahun lalu.

Sebelum ini, beberapa negeri menyatakan persetujuan mengadakan sidang DUN, antaranya Melaka pada pertengahan bulan ini dan Negeri Sembilan pada minggu pertama bulan depan.-UTUSAN


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427