Kebelakangan ini, Pulau Langkawi yang terkenal di dalam dan luar negara mulai menjadi perhatian apabila ada pihak menggambarkan Langkawi sunyi seperti ‘bandar zombie’.
Hakikatnya, terdapat banyak faktor mengapa pelancong kurang mengunjungi Langkawi tetapi yang paling jelas adalah cuaca.
Memandangkan sekarang Malaysia sedang mengalami musim tengkujuh susulan kemunculan Monsun Timur Laut. tentu sekali ia memberi kesan langsung kepada Langkawi.
Selain faktor cuaca, kemerosotan pengunjung besar kemungkinan disebabkan peralihan angin pelancong ke destinasi lain di utara Semenanjung dan Thailand seperti ke Hatyai dan Krabi.
Peralihan ini berlaku disebabkan kos perbelanjaan lebih rendah dan pengaruh hospitaliti di Thailand yang dikatakan lebih baik serta mesra pelancong.
Melihat keadaan semasa serta isu timbul di media sosial seperti harga bilik hotel serta makanan yang mahal, demi mengelak ekonomi usahawan dan peniaga di Langkawi terjejas, kerjasama semua pihak diperlukan untuk pulih kembali keadaan.
Pengusaha, usahawan dan peniaga perlu melakukan gerakan dan kempen agresif mencari jalan keluar serta mengambil peluang untuk menambah baik kelemahan yang wujud.
Paling penting, kempen dan promosi menarik perlu dipergiatkan untuk menarik pelancong berkunjung ke Langkawi. Antara aspek perlu ditumpukan adalah;
• Pengangkutan – perkhidmatan feri perlu dipantau, disusun, diperkemas dan ditambah baik. Pemantauan jadual pergerakan berkala dan teratur perlu dilakukan supaya pengunjung dapat merancang perjalanan mereka.
Penerbangan terus ke Langkawi wajar lebih kerap untuk membantu meningkatkan kedatangan pengunjung pada waktu kini dan masa hadapan.
Destinasi pelancongan bertaraf dunia
• Promosi – usaha mempromosi Langkawi sebagai destinasi pelancongan boleh ditingkatkan menerusi kerjasama di antara Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Lembaga Penggalakan Malaysia (Tourism Malaysia) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Langkawi perlu terus dipromosi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan memperkenalkan daya tarikan baru iaitu Eagle-Nest dan Pulau Selam Snorkel di Pulau Singa yang bakal beroperasi Disember ini.
Status Langkawi sebagai tapak geowarisan juga perlu dipertingkatkan kerana ia satu-satunya wujud di Asia Tenggara.
• Peniaga dan usahawan – mereka perlu menilai semula kualiti perkhidmatan serta produk ditawarkan supaya harga ditawarkan mampu bersaing secara kompetitif dengan apa yang ditawarkan di negara jiran.
Langkah lain perlu dilaksanakan adalah mengadakan bengkel jangka masa pendek mengenai pengurusan hospitaliti pelancongan kerana ia batu loncatan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan pengusaha, peniaga.
Persatuan dan ejen pelancongan, pengusaha, komuniti berasas pelancongan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) patut membantu mempromosi Langkawi sebagai destinasi pelancongan hebat.
Hanya dengan kerjasama semua pihak secara langsung atau tidak langsung mampu mengembalikan semula Langkawi sebagai destinasi pilihan pelancongan dunia setanding dengan pulau peranginan yang wujud di rantau ini.
Penulis adalah Pensyarah Pemasaran, Fakulti Pengurusan dan Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)
-BeritaHarian