Pukul isteri kerana mesej WhatsApp lelaki lain, suami didenda mahkamah

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Tindakan seorang penjual ikan memukul isterinya selepas melihat perbualan wanita itu dengan lelaki lain menerusi aplikasi WhatsApp mengundang padah, apabila dia didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret.

-Advertisement-

Majistret M Barath menjatuhkan hukuman itu ke atas V Loganathan, 40, atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya, G Anita Davi, 36, di rumah mereka di Damansara Damai, pada 2 petang, 18 Jan lepas.

Loganathan dituduh mengikut Seksyen 352A Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh memarahi dan memukul isterinya pada bahagian belakang, kepala serta tangan kanan, selepas ternampak perbualan WhatsApp antara wanita itu dengan lelaki lain.

-Advertisement-

Ekoran kejadian berkenaan, pengadu keluar dari rumah dan membuat laporan polis.

Ketika rayuan, Loganathan yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia perlu menyara tiga anak berusia 14, 12, dan enam tahun, serta isterinya yang tidak bekerja.

Timbalan Pendakwa Raya Shanur Farrahin Shapri memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427