PTPTN sasar RM1.5 bilion deposit SSPN tahun ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasar sejumlah RM1.5 bilion deposit untuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dapat dikutip sepanjang tahun ini.

-Advertisement-

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata sehingga Julai lalu, PTPTN memperoleh deposit berjumlah RM779 juta dan optimis untuk mencapai angka sasaran ditetapkan.

Katanya, sejak SSPN diwujudkan dan sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 4.61 juta akaun sudah dibuka dengan jumlah deposit sebanyak RM6.66 bilion.

“Sambutan diterima sangat menggalakkan dengan hasrat PTPTN memastikan graduan pada masa hadapan hanya mempunyai hutang pendidikan yang minimum berikutan penabungan lebih awal dilakukan.

“Ini dapat dibuktikan dengan hampir 180,000 pelajar setiap tahun berpeluang menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta melalui pinjaman PTPTN,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bank Islam Malaysia Berhad kepada PTPTN, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohd Muazzam Mohamed.

-Advertisement-

Pada majlis itu, BIMB memberikan sumbangan zakat kepada PTPTN bernilai RM40,000 yang akan disalurkan kepada 400 anak golongan asnaf terpilih sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam bentuk SSPN.

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki turut menggalakkan lebih banyak institusi kewangan dan agensi korporat lain tampil menyalurkan sumbangan zakat dalam bentuk akaun SSPN.

Katanya, sumbangan itu penting kerana sekurang-kurangnya ia dapat menjamin masa depan anak-anak asnaf, khususnya untuk mendapatkan pendidikan tinggi bagi mengubah nasib mereka.

“Secara tidak langsung, ia dapat membudayakan amalan penabungan bagi tujuan pendidikan terutama di kalangan asnaf.

“Dengan sumbangan diterima itu juga, anak-anak asnaf ini juga akan memperoleh manfaat daripada penabungan SSPN-i dan mendorong mereka untuk terus menabung secara konsisten,” katanya.

-BERITA HARIAN


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427